Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Ada niat untuk bunuh, kata PM
Diterbitkan:  Nov 28, 2018 8:48 PM
Dikemaskini: 12:48 PM

Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan serangan terhadap seorang anggota bomba oleh perusuh dalam insiden kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights mempunyai niat untuk membunuh.

Kata perdana menteri, perbuatan itu jelas dilakukan oleh mereka yang tiada perasaan sehingga boleh membunuh mangsa.

“Melihat kepada keadaan mangsa, nampak jelas orang yang melakukannya mempunyai niat untuk membunuh.

“Kita sedang berusaha sebaik mungkin mencari pelakunya. Kita tidak ada banyak bukti tapi polis akan buat siasatan rapi bagi mencari siapa yang melakukan tindakan berkenaan. Kita boleh ada demonstrasi tapi mestilah secara aman… ini bukan demonstrasi.

“Ini adalah sesuatu untuk membunuh orang dan mereka datang dengan parang dan segala senjata,” katanya pada sidang media di IJN di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, Dr Mahathir meluangkan masa setengah jam melawat Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang cedera diserang perusuh itu.

Adib, 24, edang menerima rawatan di IJN selepas menerima rawatan awal dan dipindahkan dari Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC).

Memaklumkan keadaan terkini Adib, Dr Mahathir berkata jantung, paru-paru dan buah pinggang Muhammad Adib masih berfungsi berikutan kepakaran doktor-doktor di IJN.

Dalam kejadian awal pagi Selasa, Muhammad Adib dipercayai dipukul sekumpulan perusuh ketika dalam operasi memadam kebakaran kenderaan di hadapan kuil tersebut.

Turut hadir melawat Muhammad Adib, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran dan Timbalan Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT), Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS