Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata rusuhan yang berlaku berhampiran kuil Seafield Sri Maha Mariamman di Subang Jaya didalangi orang luar.
Mahathir berkata demikian sebagai menegaskan bahawa rusuhan berkenaan tidak melibatkan perbalahan antara kaum.
"Ini bukan soal orang Melayu lawan orang India. Ini masalah orang itu datang dari tempat lain. Bukan penduduk tempatan. Ada orang jadi dalang di belakang," katanya ketika ditemui selepas majlis Anugerah Akademik Negara ke-12 di Putrajaya.
Sementara itu, diminta mengulas rancangan kerajaan dalam mengangani isu pemindahan tapak rumah ibadat pada masa akan datang, Mahathir memberi jaminan ia tidak akan terjadi lagi.
"Masa depan takkan berlaku (perkara seumpamanya). Kita ada cara untuk mengelakkan perkara serupa berlaku," katanya tanpa mengulas lanjut.
Pada awal pagi 26 Oktober, kekecohan berlaku selepas sekumpulan individu menceroboh kuil Sri Maha Mariamman.
Kuil yang berusia lebih 100 tahun itu dijadual untuk dipindahkan pada 22 Nov lalu selepas pemaju One City Development Sdn Bhd mendapat persetujuan penghakiman mahkamah.
Bagaimanapun, terdapat pihak yang tidak bersetuju kuil itu dipindahkan.
Awal pagi ini, rusuhan tercetus sekali lagi sehingga menyebabkan seornag anggota bomba perubatan cedera parah.
Setakat ini polis telah menahan 21 individu. Dalam tangkapan terbaru, dua suspek ditahan bersama parang yang ditemui dalam kenderaan yang dinaiki, menurut polis.
Sebanyak 23 kenderaan rosak dan dibakar, termasuk sebuah lori bomba yang dirosakkan oleh perusuh.