Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan dipinda, bekas pengerusi PAC kata tak tahu menahu

Bekas pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) Hasan Arifin berkata beliau “tak tahu menahu” tentang Laporan Akhir Pengauditan 1MDB yang didakwa dipinda.

“Tak ada. Kita tak tahu menahu. Tak tahu menahu,” katanya ketika disoal pemberita di parlimen hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Audit Negara Madinah Mohamad bahawa perenggan berkaitan kehadiran Jho Low dalam satu mesyuarat lembaga pengarah 1MDB diarahkan untuk digugurkan oleh bekas ketua setiausaha sulit bekas perdana menteri, Shukry Salleh pada 26 Februari 2016.

Madinah mendakwa bekas perdana menteri Najib Razak sendiri telah mengarahkan pindaan beberapa perkara termasuk penyata kewangan 1MDB bagi 2014.

Bagaimanapun, firma guaman Shafee & Co yang mewakili Najib mendakwa dakwaan Madinah itu dibuat atas arahan kabinet.

Menurut Hasan yang juga merupakan anggota parlimen Rompin, beliau hanya menerima laporan audit itu seadanya seperti mana yang diserahkan kepadanya.

“Tak, tak, tak. Soalnya Tan Sri Ambrin Buang telah menafikan ada pindaan, semasa itu kita ambil yang sebenarnyalah.

“[...] Apa yangf Ambrin Buang bawa ke PAC, kita anggap itulah laporannya,” katanya.

Ambrin dipanggil ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semalam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS