Firma guaman Shafee & Co yang mewakili Najib Razak, hari ini mendakwa pendedahan Ketua Audit Negara Madinah Mohamad berhubung tindakan bekas perdana menteri itu mengarahkan laporan audit 1MDB dipinda bersifat politik.
Firma guaman itu berkata, kenyataan Madinah berhubung pindaan berkenaan dibuat atas arahan kabinet.
"Dengan pengakuannya sendiri, kenyataan media ketua audit negara yang disiarkan pada pagi Ahad dibuat atas arahan kabinet.
"Ini seperti menunjukkan terdapat pertimbangan politik dalam mengeluarkan kenyataan media itu," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Shafee & Co juga berkata kenyataan ketua audit negara itu, yang tidak disertakan dengan dokumen lain, akan memberi gambaran terdapat percubaan untuk menutup sesuatu, yang mempengaruhi perbicaraan mahkamah kes rasuah yang berkaitan 1MDB.
"Kenyataan media ketua audit negara dibaca oleh sesiapa saja tanpa dokumen atau testimoni berhubung 1MDB, memberi gambaran anak guam kami cuba menutup kesalahan yang didakwa dilakukan dalam 1MDB dan (berkaitan) Jho Low.
"Ia hanya boleh diterjemahkan sebagai percubaan untuk mempengaruhi pendapat orang awam dan prejudis terhadap anak guam kami sebelum perbicaraan yang juga boleh dianggap menghina mahkamah kerana terdapat unsur percubaan prejudis terhadap pembelaan anak guam kami," kata kenyataan itu.
Mengakui kepentingan pendedahan kepada orang ramai, firma guaman itu bagaimanapun berkata, sebarang kenyataan yang dibuat, terutamanya oleh kerajaan, perlu mengambil kira hak Najib untuk mendapatkan perbicaraan bebas tanpa pengaruh politik.
"Penting untuk diingatkan bahawa anak guam kami tidak dihubungi oleh pejabat ketua audit negara untuk mendapatkan penjelasan sebelum mereka mengeluarkan kenyataan media.
"Oleh itu, anak guam kami tidak pernah diberi peluang menjawab terlebih dahulu kepada kenyataan media ketua audit negara, maka, satu lagi pelanggaran keadilan yang berat terjadi di sini," kata firma guaman itu.
Lebih membimbangkan, katanya, adalah apabila pendedahan Madinah telah dipanjangkan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan.