Paling Popular
Terkini

Tanggal 12 November lalu adalah hari yang dinanti-nanti dengan sejuta harapan di dada setelah dia menghadapi malam-malam panjang tanpa insan tercinta di sisi.

Namun, doa yang dipanjatkan belum jua termakbul.

Dia terpaksa meneruskan hidup sama seperti kira-kira tujuh tahun lalu, iaitu melalui kehidupan seharian sebagai wanita yang bersendiri.

Bukanlah Ruhana Mohamed tiada suami. Ada. Cuma suaminya terlalu jauh di Beluran, Sabah sana, sedangkan dia terpaksa menelan hakikat pahit di Pasir Mas, Kelantan.

Menemani Ruhana ialah dua anak mereka.

"Hari ni hari yang ditunggu-tunggu oleh saya dan anak-anak. Harapan mereka hanya satu, nak ayah dia ada bersama di sisi.

"Setelah tujuh tahun PJJ (perkahwinan jarak jauh), pelbagai ujian silih berganti, tak kurang juga ujian kesihatan yang semakin silih berganti," katanya kepada Malaysiakini.

Habis sudah masa berdiam

Menjelaskan kesulitan hidupnya Ruhana berkata bagi bagi orang biasa pun tujuh tahun itu sudah dianggap lama, apatah lagi untuk dirinya yang perlu menjaga anak-anak bersendirian.

Malah dia menegaskan, kudratnya semakin hari semakin lemah dan keadaan kesihatan tidak menentu.

"Saya harap dengan adanya kerajaan dengan harapan baru ini, kami anak-beranak disuluh sinar bahagia," katanya.

Menurut Ruhana, suaminya Khairul Anwar Mat Lazim, 31, mengajar mata pelajaran pendidikan Islam di sebuah daerah di Beluran.

Gambar hiasan

Katanya sudah beberapa kali permohonan dibuat supaya suaminya ditukarkan ke semenanjung namun gagal yang hadir bersilih ganti.

Ruhana berkata, selama ini dia hanya berdiam sahaja dengan keputusan permohonan suaminya, tetapi kali ini kesabarannya sudah melepasi batasan, selain ditambah rasa terkilan yang membara.

"Saya boleh reda, boleh terima apa jua keputusan tetapi ada sesetengah pihak, sesetengah individu nampak mencabar kesabaran saya.

"Memandangkan anak-anak yang semakin besar memerlukan perhatian penuh daripada seorang bapa, keadaan diri saya yang makin uzur dan ibu bapa mentua yang tidak menentu kesihatannya, adakah masih tidak layak untuk suami saya mendapat keputusan yang melegakan kali ini?

"Orang lain yang hanya beberapa tahun saja bertugas di sana, malah ada yang bujang, diberi kebenaran balik, apa kurangnya suami saya yang sudah tujuh tahun di sana?" luah wanita berusia 31 tahun itu tanpa menafikan ada guru lain turut senasib malah lebih teruk berbanding situasinya dan suami.

Janji tinggal janji

Isnin lalu, keputusan permohanan guru seluruh negara untuk pertukaran tempat mengajar diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Dilaporkan KPM meluluskan 4,525 permohonan pertukaran guru bagi sesi Januari 2019. Secara keseluruhan KPM menerima 25,332 permohonan daripada guru di seluruh negara.

Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Amin Senin, dalam kenyataannya semalam berkata, jumlah itu ialah 19.53 peratus daripada jumlah keseluruhan permohonan pertukaran menggunakan sistem modul e-GTukar yang dibuka sekali setahun.

Permohonan yang diproses dan diterima itu ialah bagi tempoh 18 Februari 2018 hingga 25 Mac lalu.

Sementara itu, mengimbau cabaran tiga tahun lalu ketika kesihatannya begitu getir, Ruhana berkata, surat sokongan doktor pakar disertakan bersama permohonan suaminya namun gagal mengubah pendirian pihak berwajib.

"Tiga tahun lepas saya sakit teruk kerana jangkitan kencing tikus. KPM minta suami buat permohanan pertukaran serta-merta dengan ada sokongan doktor pakar, tetapi nampaknya surat yang tak hebat daripada kami itu dipandang begitu saja.

"Saya masih berdiam diri. Janji kes khas kami hanya tinggal janji sahaja. Saya tetap sabar, sebab saya tahu apa itu sabar.

"Saya kira banyak jasa suami di sana, apalah kali ini bagi peluang pada kami yang sangat memerlukan.

"Tolonglah, buat sesuatu ikut giliran yang betul, kasihan kami yang sangat perlukan PJJ ini tamat secepat mungkin sebelum tamatnya nyawa di badan.

"Saya tak pernah bantah segala keputusan, tetapi hari ini saya sangat kecewa. Saya tak ada kuasa politik, tapi saya ada suara hati," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS