Seminggu sebelum pemilihan PKR peringkat Sarawak, aduan oleh mereka yang didaftarkan sebagai anggota PKR Julau tanpa pengetahuan masih berterusan.
Malaysiakini telah melihat dua laporan polis yang dibuat baru-baru ini oleh individu-individu yang mendakwa dirinya dan beberapa lagi didaftarkan sebagai anggota PKR tanpa pengetahuan mereka.
Sumber yang menunjukkan laporan itu kepada Malaysiakini meminta namanya tidak didedahkan bagi mengelak risiko gangguan.
Satu laporan itu dibuat di Sarikei pada 2 November lalu, oleh seorang petani yang mendakwa dia mendapati dirinya dan sepuluh kawannya didaftar sebagai anggota PKR Julau tanpa kebenaran.
Pemeriksaan Malaysiakini di laman semakan status keanggotaan PKR mendapati 11 individu yang dinamakan dalam laporan itu didaftar sebagai anggota pada tarikh sama, iaitu 27 Jun 2018.
Satu lagi laporan dibuat di Sibu Jaya pada 29 Oktober, oleh seorang yang mendakwa dirinya anggota Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang mengadu perkara sama - dia dan dua kawannya didaftar sebagai anggota PKR Julau.
Pemeriksaan Malaysiakini sekali lagi mendapati ketiga-tiganya didaftar pada tarikh sama - 27 Jun 2018.
Tarikh itu penting kerana, seperti yang disebut dalam laporan Malaysiakini sebelum ini, PKR Julau mencatatkan pertambahan anggota berjumlah 12,946 orang, atau 2,147 peratus, pada hari tersebut.
Walaupun Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution menjelaskan anggota yang mendaftar selepas 26 Jun tidak layak mengundi, nama mereka yang didaftarkan pada 27 Jun itu masih muncul dalam senara keanggotaan yang digunakan untuk pemilihan.
Sementara itu, Borneo Post hari ini melaporkan sejumlah 37 anggota PRS di Meluan didaftarkan sebagai anggota PKR Julau tanpa pengetahuan.
Naib Pengerusi PRS Meluan, Desmond Sunok dipetik menggelarkan PKR sebagai "terdesak dan menyedihkan".
"Pastinya kami tidak suka dengan tindakan terdesak dan menyedihkan PKR Julau. Kami mengecamnya. Kesetiaan kami kepada parti digunakan oleh sesetengah orang yang tidak sabar mendaki tangga politik," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Anggota Parlimen Julau Larry Sng (gambar) memberitahu The Star bahawa pejabatnya di daerah itu diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan sebab serbuan itu dan dokumen yang dirampas.
Sng yang menyertai PKR pada 11 Mei lalu pernah menjadi menteri muda ketika Tun Taib Mahmud menjadi ketua menteri Sarawak.
Beliau kini mencabar penyandang Ketua PKR Julau Semana Sawang untuk jawatan itu, selain untuk anggota majlis pimpinan pusat (MPP).
Semalam, Malaysiakini melaporkan SPRM ke ibu pejabat PKR di Petaling Jaya pada Jumaat untuk mengambil bukti dan menahan seorang pekerja parti yang disyaki bertanggungjawab terhadap rekod keanggotaan.
Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, Saifuddin mendakwa pihak berkuasa seolah-olah berat sebelah dalam soal siasatan berkaitan pemilihan parti.
Difahamkan siasatan SPRM ekoran laporan yang dibuat Ketua Penerangan PKR Sarawak Vernon Albert Kedit, yang membuat kenyataan bersumpah mendakwa ada cubaan untuk menutup kejanggalan yang berlaku dalam senarai keanggotaan PKR Julau.