Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ADUN Pilah didakwa terkena ilmu hitam
Diterbitkan:  Oct 25, 2018 10:40 AM
Dikemaskini: 2:40 AM

Salah seorang exco Negeri Sembilan dilaporkan mengalami penyakit misteri dan belum dapat menjalankan tugas seperti sepatutnya lapor akhbar hari ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah Mohamad Nazaruddin Sabtu dikatakan lama tidak kelihatan di khalayak ramai sehingga timbul desas-desus dia bersara daripada politik.

Bagaimanapun menurut laporan The Star dia yang baru menjadi ADUN untuk kali pertama melalui pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu sedang mengalami masalah kesihatan, dipercayai ada kaitan dengan ilmu hitam.

Memetik kenyataan pegawai khasnya, Aminuddin Mohamed Yunus, wakil rakyat PKR itu mula sakit selepas PRU yang diadakan pada 9 Mei lalu sebelum keadaannya bertambah serius selepas Aidilfitri.

"Kami merujuk Mohamad Nazaruddin ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan doktor memberitahu beliau mengalami tekanan," katanya.

Pada PRU lalu Mohamad Nazaruddin dicalonkan Pakatan Harapan di kerusi DUN Pilah dan berdepat pertembungan tiga penjuru.

Selain penyandang, Nordihayati Omar (BN) dia juga dicabar calon PAS Ahmad Fadzil Othman.

Lantik pegawai khas

Mohamad Nazaruddin merampas kerusi Pilah daripada Norhidayati dengan kelebihan 1,806 undi. Beliau memenangi kerusi DUN berkenaan dengan mendapat 5,643 undi.

Selepas HARAPAN membentuk kerajaan Mohamad Nazaruddin dilantik mengetuai portfolio Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan.

Aminuddin berkata mereka juga membawa Mohamad Nazaruddin mendapatkan rawatan tradisional beberapa kali dan dimaklumkan ADUN terbabit menjadi mangsa sihir.

Gambar fail

Disebabkan keadaan itu juga kata Aminuddin wakil rakyat itu tidak dapat bertanding pada pemilihan PKR Sabtu lalu.

Mohamad Nazaruddin ialah timbalan ketua PKR Cabang Kuala Pilah.

Mengenai tugasnya sebagai wakil rakyat Aminuddin berkata seorang pegawai khas sudah dilantik bagi mengendalikan operasi di pusat khidmat Mohamad Nazaruddin.

"Sejak menjalani rawatan dan tidak dapat berkhidmat kepada orang ramai di kawasan diwakilinya, kami melantik seorang pegawai khas bagi membantu masyarakat setempat," katanya.

Sementara itu memetik kenyataan isteri Mohamad Nazaruddin, Sarimah Zaizakrani, Utusan Online melaporkan doktor berpendapat wakil rakyat itu menghadapi masalah tekanan.

"Kita boleh bercakap dengan dia dan dia memahami apa yang kita kata, tetapi mengalami kesukaran menjawab semula apa yang dituturkan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS