Menteri Pertahanan Mohamad Sabu hari ini mengulangi penegasan hubungan pertahanan yang baik dengan Singapura dalam lawatan pengenalan diri ke republik ini.
Dalam kenyataan di republik itu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) Singapura berkata Mohamad melakukan kunjungan ke atas rakan sejawatannya Dr Ng Eng Hen di kementerian pagi ini.
Mohamad yang akan berada di negara ini sehingga Sabtu, turut melakukan pemeriksaan kawalan kehormatan.
Pada pertemuan mereka, MINDEF Singapura berkata kedua-dua menteri mengulangi penegasan akan hubungan pertahanan dua hala yang baik sejak sekian lama di antara republik itu dan Malaysia.
Kedua-duanya mengiktiraf trajektori positif dalam hubungan pertahanan dua hala dan kerjasama menerusi platform pelbagai hala serantau seperti Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Campur serta Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA).
Cabaran serantau ancaman keganasan
MINDEF Singapura berkata kedua-duanya juga berbincang mengenai kaedah untuk mendepani cabaran serantau seperti memperkukuh kerjasama bagi menangani ancaman keganasan.
Mohamad turut meluangkan masa melawat Pusat Pengumpulan Maklumat di Pangkalan Tentera Laut Changi pagi tadi serta sempat beramah mesra dengan pasukan tentera Malaysia yang terlibat dalam Eksesais Bersama Lima.
Pada sebelah petang, beliau melawat Divisyen 3 Singapura dan mendengar taklimat mengenai Angkatan Tentera Singapura selain meninjau pameran statik aset tentera dan sistem senjata serta menaiki kenderaan Light Strike Vehicle Mark II.
Mohamad dijadualkan membuat kunjungan hormat ke atas pemangku Perdana Menteri Teo Chee Hean pada 20 Oktober.
Beliau akan menghadiri ADMM ke-12 serta ADMM-Campurs kelima yang dihoskan Singapura selama dua dua hari bermula esok, kata kementerian itu.
- Bernama