WAWANCARA | Nasib Umno dan BN di Johor hari ini mungkin berbeza sekiranya negeri itu benar-benar mengadakan pilihan raya berasingan daripada negeri-negeri lain pada 9 Mei lalu.
Sebelum ini khabar mengenai rancangan tersendiri negeri di selatan semenanjung itu tidak pernah disahkan oleh sesiapa kecuali menjadi khabar-khabar angin yang akhirnya lenyap begitu saja.
Semalam watak utama yang terbabit dalam kerajaan Johor membuat pendedahan kepada Malaysiakini dalam satu temu bual eksklusif di Kuala Lumpur.
Siapa tidak kenal Datuk Seri Khaled Nordin - menteri besar BN yang mempunyai profil tinggi sehingga kini.
Dia bukan sekadar wakil rakyat, sebaliknya pemimpin kerajaan negeri dan kini naib presiden Umno.
Rupa-rupanya memang ada rancangan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor lebih awal - atau lewat - berbanding pembubaran parlimen serta DUN lain.
Tujuannya supaya BN Johor boleh menguruskan isu-isu dalaman negeri secara terpisah dengan hal-hal nasional.
Ia strategi untuk Johor
Tambahan pula pilihan raya umum (PRU) pada 9 Mei itu berlangsung ketika BN - khususnya Umno - berdepan dengan persepsi negatif yang meluas.
Kepada Malaysiakini Khaled menjelaskan ada rasa kesal dalam hatinya kerana tidak mendesak agar cadangan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) diterima pucuk pimpinan Umno.
“Saya dah bersuara menyatakan permintaan secara tidak rasmi mengenai PRN Johor diadakan secara berasingan, terpisah daripada PRU persekutuan, tapi ia ditolak, tidak diterima.
"Ada sedikit rasa menyesal kerana kami tidak melaksanakannya.
“Ia sebahagian daripada strategi kami kerana jika Johor mengadakan PRN sendiri, kami akan dapat asingkan isu-isu nasional (semasa berkempen),” katanya.
Johor sejak sekian lama menjadi kubu kuat Umno, malah parti itu lahir di negeri berkenaan.
Namun apabila PRU diadakan pada 9 Mei, Johor antara negeri yang awal diketahui jatuh ke tangan Pakatan Harapan (HARAPAN). Malah Khaled sendiri gagal mempertahankan kerusi DUN Permas, selain kalah di kerusi parlimen Pasir Gudang.
Spekulasi mengenai PRN Johor dikesan seawal Oktober 2016 selepas ada pihak tertentu dalam Umno didakwa mengemukakan cadangan kepada Umno pusat.
Langkah itu bertujuan mendepani pengaruh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang diketuai oleh bekas timbalan presiden Umno - dan orang Johor sendiri - Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong turut dilaporkan menyatakan parti itu bersedia menghadapi PRN berasingan jika ditakdirkan berlaku secara mengejut.
Bagaimanapun isu itu dinafikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang ketika itu menjalankan tugas timbalan presiden Umno selepas Muhyiddin dipecat.
Malah Ahmad Zahid menuduh pembangkang (HARAPAN) sengaja membangkitkan isu berkenaan.
Raikan pandangan berbeza
Walaupun mengikut undang-undang sesebuah negeri boleh membubarkan DUN masing-masing dengan persetujuan sultan atau yang dipertua negeri, satu-satunya negeri yang menjalankan PRN secara berasingan ialah Sarawak.
Menurut Khaled jika PRN Johor itu diadakan, calon BN di negeri itu mampu membawa isu-isu rakyat bagi kepentingan negeri itu sendiri.
“Kami percaya kalau kami sudah menang PRN…Kami nak buat strategi untuk memilih wakil yang kuat di peringkat persekutuan.
“Kekuatan wakil rakyat Johor boleh mengukuhkan perjuang kepentingan Johor,” katanya.
Khaled bagaimanapun berkata, tidak ada keperluan lagi untuk bercakap soal tersebut kerana Johor kini sudah jatuh ke tangan HARAPAN.
“Sekarang kita dah tengok keputusan (PRU). Tak ada makna lagi nak cakap pasal itu,” katanya.
Susulan daripada kegagalan BN juga, Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatannya selaku presiden Umno dan pengerusi BN.
Ketika berdepan satu demi satu tuduhan jenayah rasuah dan salah guna kuasa di mahkamah Najib tetap tekal memberi kenyataan mengkritik Putrajaya.
Mengulas perkara itu, Khaled berkata, pandangan yang diberikan Najib itu bukan untuk mengusai Umno sebaliknya beliau menegur apa yang dirasakan salah.
“Mungkin dia sebagai mantan Perdana menteri, dia lebih mengetahui dan memahami.
"Lebih-lebih lagi ia menunjukkan dasar-dasar yang dia buat dulu. Jadi sudah tentu dia berasa terpanggil untuk memberi pandangan tapi atas kapasiti beliau sebagai bekas perdana menteri dan ketua Umno Pekan.
“Saya tak fikir kita patut menidakkan hak dia untuk memberi pandangan. Samalah seperti di Johor, kalau menteri besar sekarang dan kerajaannya buat yang bukan-bukan, saya akan terpanggil untuk beritahu.
"Dalam soal ini, kalau Najib jawab itu bukan usahanya untuk menguasai (semula) Umno,” katanya.
Baca Khaled: Mustahil mereformasi Umno jika Najib masih terlibat
Khaled yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis itu juga berpendapat, dalam parti itu juga ada pelbagai pandangan dan ia perlu dihormati dan diraikan atas semangat demokrasi.
Katanya, hal itu juga terpakai kepada bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang tidak teragak-agak mengkritik presidennya, termasuk selepas anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mustapa Mohamed dan bekas menteri luar Datuk Seri Anifah Aman meninggalkan parti berkenaan.
Kata Khaled berkata pandangan sedemikian perlu diambil kira bagi memastikan terdapat nilai yang baik dalam parti Melayu itu.
“Kita patut benarkan apa-apa pandangan walau berbeza. Macam Khairy, pada saya it's OK dan kita perlu ajar dan pastikan ini nilai yang dalam Umno,” katanya.
Wawancara 1: Umno tak boleh mabuk kuasa
- Wawancara ini dijalankan bersama Al-Abror Mohd Yusuf, Hariz Mohd, Lu Wei Hoong dan Norman Goh