Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Izzah jumpa menteri kesihatan bincang kes 'doktor ganja' - Surat pada AG
Diterbitkan:  Sep 20, 2018 3:03 PM
Dikemaskini: 7:34 AM

Merujuk kes 'doktor ganja', Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar telah menghantar surat rasmi kepada Peguam Negara Tommy Thomas bagi membantu proses rayuan hukuman mati terhadap Muhammad Lukman Hakim.

Dalam surat rasmi Naib Presiden PKR yang dilihat Malaysiakini itu, Izzah turut mendedahkan telah bertemu dengan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad dan timbalannya bagi membincangkan kes ini serta penggunaan ganja untuk tujuan perubatan.

"Saya telah bertemu dengan Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad dan timbalan beliau, Dr Lee Boon Chye pada 7 September 2018.

"Hasil pertemuan tertutup tersebut, kedua-duanya menyatakan persetujuan terhadap pandangan yang saya kemukakan berhubung isu ini dan bersetuju bahawa rokok lebih membahayakan berbanding kanabis (mengorbankan 20,000 nyawa setiap tahun).

"Potensi kanabis sebagai penawar perubatan adalah besar dan diakui ramai pakar (termasuk Prof Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman, bekas timbalan ketua pengarah Kesihatan (bahagian Kesihatan Awam), Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya dalam surat kepada AG itu.

Malaysiakini tidak mendapat pengesahan daripada menteri dan timbalan menteri mengenai pertemuan tertutup itu.

Teringin lihat ganja sebagai ubat bukan jenayah

Menurut Izzah lagi, permohonan untuk mengkaji ganja sebagai dadah berbahaya pernah dikemukakan di parlimen pada 2010, manakala presiden Majlis Aids Malaysia pula menyokong cadangan menarik balik pemilikan kanabis sebagai kesalahan jenayah.

"Permohonan untuk mengkaji semula klasifikasi kanabis sebagai dadah berbahaya pernah dikemukakan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin (kini Timbalan Menteri Pertanian) pada sidang Parlimen Oktober 2010, namun ia tidak diberi pertimbangan pada waktu tersebut.

"Penaung Majlis AIDS Mataysia, Tan Sri Mohd Zaman Khan turut menyokong penarikan semula pemilikan kanabis sebagai satu kesalahan jenayah," tulis beliau.

Dalam surat kepada peguam negara itu lagi, Izzah menyatakan hasrat untuk melihat penggunaan ganja tidak lagi menjadi jenayah dan menggesa Malaysia mencontohi negara-negara yang membenarkan ganja untuk tujuan perubatan.

"Dalam jangka masa panjang, saya menyatakan keinginan melihat penggunaan kanabis dikeluarkan daripada senarai perlakuan jenayah di negara ini.

Contohi negara luar

"Malaysia wajar mencontohi tindakan negara-negara Iuar (termasuk Amerika Syarikat) yang sedang mengembangkan penggunaan kanabis sebagai penyembuh penyakit, berdasarkan kajian-kajian saintifik yang telah dijalankan.

"Di samping itu, petbagai negara luar telah membenarkan penggunaan kanabis sebagai penyembuh penyakit dari sisi undang-undang termasuk Argentina, Australia, Kanada, Jerman, Greece dan ltali serta United Kingdom mutai tahun ini," maklum beliau.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pandangan yang dilihat senada dengan Izzah berpendapat kerajaan patut menyemak semula kes hukuman mati terhadap pesalah yang menggunakan ganja untuk tujuan perubatan.

“Saya rasa kita patut semak semula,” katanya ketika diminta mengulas hukuman mati terhadap Lukman yang berusia 29 tahun.

Semalam, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata tiada bukti dalam bidang perubatan untuk mengatakan penggunaan minyak ganja dapat merawat penyakit.

Sehubungan itu katanya penggunaan minyak ganja di Malaysia dihadkan kepada mereka yang berkelayakan untuk tujuan penyelidikan dan tertakluk kepada kelulusan menteri kesihatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS