Paling Popular
Terkini

WAWANCARA | Hasil kesepakatan parti komponen Pakatan Harapan (HARAPAN), ada tiga pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) diangkat sebagai menteri besar selepas 9 Mei 2018.

Mereka mengetuai kerajaan di Kedah, Perak dan Johor.

Daripada tiga itu, orang ramai memang tidak asing lagi dengan menteri besar yang ada di Kedah. Hal itu demikian kerana Datuk Seri Mukhriz Mahathir bukanlah orang biasa-biasa.

Sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-13 lagi namanya disebut-sebut dan menjadi 'umpan' buat Umno untuk mendapatkan sokongan pengundi bagi menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat.

Cuma keputusan PRU ke-14 menyaksikan penguasaan HARAPAN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah kurang kukuh.

Situasi sama dilihat di Perak. Dan di negeri itu nama baru dipertaruhkan sebagai menteri besar - Ahmad Faizal Azumu. Penguasaan HARAPAN dalam DUN Perak juga kurang kukuh dan pelantikan menteri besar terpaksa mengambil masa lebih lama berbanding negeri-negeri lain - kecuali Kedah.

Di Johor HARAPAN menang kerusi lebih banyak berbanding parti lain. Maka dilantiklah Datuk Osman Sapian mengetuai kerajaan negeri pada 12 Mei bagi menggantikan Datuk Mohamed Khaled Nordin yang kalah mengejut di DUN Permas.

Prestasi tetap memuaskan

Osman juga nama yang kurang dikenali. Mungkin beliau bukan asing kepada penduduk di negeri selatan semenanjung itu, tetapi namanya amat jarang disebut selain daripada Bangsa Johor.

Selepas itu barulah nama Osman menjadi sebutan. Malangnya atas sebab yang tidaklah membanggakan.

Ditanya prestasi Osman sebagai menteri besar, Tan Sri Muhyiddin menegaskan, tidak ada apa-apa masalah yang dihadapi sebenarnya.

"Goyah? Tak goyah... selagi tak ada krisis, tak goyahlah," katanya dengan yakin.

Beliau ditemui pada sesi wawancara Malaysiakini bersama wakil Sinar Harian di Bukit Damansara pada Jumaat lalu.

Menurut presiden BERSATU itu beliau melihat laporan mengenai prestasi semua pemimpin parti termasuk yang ada di Johor.

Setakat ini kata Muhyiddin beliau berpuas hati dengan prestasi mereka.

Pun begitu Muhyiddin yang kini dilantik mengetuai Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengakui dari semasa ke semasa akan ada cabaran yang perlu didepani.

Tambah beliau sama seperti di peringkat persekutuan, di peringkat kerajaan negeri ada beberapa isu yang harus ditangani dengan teliti. Dan ia bersifat unik, kerana berbeza dari satu negeri ke negeri lain.

Tak ada isu besar

Dan memang Muhyiddin layak berkata begitu kerana beliau sendiri pernah menjadi menteri besar Johor. Hampir sembilan tahun beliau menjadi menteri besar.

"Setiap menteri besar ada menghadapi masalah-masalah tertentu," katanya.

Menurut Muhyiddin lagi seseorang menteri besar harus bijaksana untuk menguruskan masalah tersebut.

Namun beliau yakin jika menteri besar itu mengutamakan apa yang dimahukan rakyat maka tokoh terbabit akan tetap mendapat sokongan.

"Tapi mereka mesti ada keberanian sikit untuk menangani beberapa perkara tertentu itu," katanya sambil tersenyum, namun tidak menjelaskan dengan lebih lanjut maksud "tertentu" itu.

Berbanding negeri lain Johor dilihat mempunyai kelainan tersendiri dari aspek sosial dan politik. Antara lain hal itu kerana rasa kebanggaan menebal penduduk negeri itu dengan semangat Bangsa Johor.

Pembangunan pesat di negeri tersebut - misalnya projek Forest City - juga memudahkan Johor menjadi topik perbualan ramai.


Baca Muhyiddin tawar diri bantu menteri baru


Kehebatan kelab bola sepak JDT yang begitu menonjol puula menjadikan negeri berkenaan sentiasa unik.

HARAPAN memenangi PRU ke-14 lalu dengan menguasai 36 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

BN bertahan di 19 kerusi dan satu lagi dimenangi PAS.

Menurut Muhyiddin beliau yakin Mukhriz dan Ahmad Faizal akan dapat menguruskan negeri masing-masing dengan baik.

"Saya tak nampak ada apa-apa isu besar setakat ini," katanya.

Mengenai Johor Muhyiddin juga bersikap positif dan yakin Osman mampu menjadi menteri besar yang berkesan serta disokong semua pihak.

"Menteri besar Johor pun ada berbincang dan meminta pandangan saya," katanya.

  • Wawancara ini turut dijayakan oleh Norman Goh, Hariz Mohd, Grace Aisyah dan wakil Sinar Harian

Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS