ADS
mk-logo
Berita
Menteri: Peruntukan PBT disemak jika gagal lantik 30 peratus wanita

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan menilai semula peruntukan bagi semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara sekiranya gagal melantik 30 peratus wanita sebagai anggota majlis.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata perkara itu, yang bakal menjadi syarat baharu dalam Sistem Penarafan Bintang PBT, masih diperincikan dan ia akan dilaksanakan selepas tempoh dua tahun ini.

"Perkara itu dalam peringkat cadangan awal bagi memastikan semua PBT melantik 30 peratus atau lapan wanita daripada keseluruhan 24 ahli majlis… selepas ia (syarat) dilaksanakan, sekiranya PBT gagal, KPKT akan semak semula peruntukan.

“Saya akan perkemaskan lagi syarat (Sistem Penarafan Bintang PBT) yang sesuai untuk diberikan kepada semua PBT,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Hari Wanita 2018 di Dewan Perdana Felda di Kuala Lumpur hari ini.

Zuraidah, yang juga Anggota Parlimen Ampang, berkata, syarat itu tertakluk kepada semua PBT di seluruh negara termasuk di negeri di bawah pentadbiran pembangkang.

ADS

Beliau berkata pada masa ini, pelantikan wanita sebagai anggota majlis dalam PBT di peringkat nasional secara purata hanya mencatat 14 peratus.

Persidangan sehari, yang disertai kira-kira 300 anggota badan bukan kerajaan, dianjurkan Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) bertemakan 'Mengilham Harapan, Memacu Wawasan' (english: Inspiring Hope, Driving the Vision) bermatlamat memberi inspirasi dan membentuk pemikiran baharu wanita dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0 (IR4).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS