Selepas dibebaskan daripada dakwaan hasutan, peguam hak asasi Eric Paulsen dan Anggota Jawatankuasa Pusat PSM S Arutchelvan hari ini menggesa kerajaan meningkatkan berusaha untuk menghapuskan Akta Hasutan 1948 seperti yang telah dijanjikan.
Paulsen berkata, tindakan Peguam Negara Tommy Thomas menarik balik kes terhadapnya adalah langkah yang baik tetapi langkah dari segi dasar juga perlu diambil.
"Akta Hasutan perlu dimansuhkan. Semua kes, rayuan dan siasatan bawah akta itu mesti ditarik balik kerana ia tidak konsisten dengan manifesto Pakatan Harapan," katanya kepada Malaysiakini.
Sementara itu, Arutchelvan berkata dengan mengambil kira janji HARAPAN itu, penerusan kes bawah akta itu hanyalah membazir sumber polis.
Beliau juga menggesa kerajaan tidak lagi menangguh pemansuhannya.
"Akta Hasutan ini digubal British ketika darurat. Kerajaan tidak perlu berfikir tentangnya tetapi mansuhkan saja.
"Malah (bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak) pernah mahu mansuhkannya, tetapi (tarik balik). Jadi kami harap kerajaan tak akan bazir wang, sumber untuk kes-kes seumpama ini," katanya.
Mereka berdua membangkitkan kerajaan baru berterusan menggunakan akta itu di sebalik janji mereka untuk memansuhkannya.
Antara aktivis yang disiasat bawah akta itu adalah Fadiah Nadwa Fikri, Asheeq Ali Sethi Alivi dan Hishamuddin Rais.
Paulsen dan Arutchelvan hari ini bebas daripada dakwaan menghasut selepas pihak pendakwaan menarik balik kes terhadap mereka.
Paulsen didakwa pada 10 Jun 2015 kerana dituduh berkata Jakim mempromosikan ekstremisme.
Arutchelvan pula didakwa pada 10 Februari tahun sama kerana dituduh mengkritik keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap perbicaraan liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Laporan tambahan oleh Annabelle Lee