Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO hak asasi kecam siasatan di bawah Akta Hasutan
Diterbitkan:  Aug 13, 2018 5:10 PM
Dikemaskini: 9:28 AM

Kumpulan hak asasi manusia, Suaram hari ini meminta penjelasan kerajaan mengapa masih terus menggunakan Akta Hasutan 1948 walaupun berjanji akan memansuhkan undang-undang itu pada pilihan raya umum lalu.

Pengarah eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy, berkata siasatan terhadap aktivis Asheeq Ali Sethi Alivi dan Fadiah Nadwa Fikri di bawah akta hasutan jelas menunjukkan Pakatan Harapan (HARAPAN) memungkiri janjinya.

"Sesi pertama parlimen hampir berakhir dan tidak ada petunjuk pentadbiran Pakatan Harapan mensasarkan untuk memastikan Akta Hasutan 1948 dimansuhkan.

"Tambahan pula, gesaan masyarakat awam agar moratorium dilaksanakan terhadap Akta Hasutan 1948 dan undang-undang lain yang kejam juga telah dipekakkan," katanya.

Asheeq, bekas aktivis mahasiswa dipanggil ke Bukit Aman esok kerana mengeluarkan kenyataan menghasut ketika perhimpunan bagi menyatakan solidariti terhadap Fadiah bulan lepas, yang juga disiasat di bawah akta yang sama.

Sementara itu, Fadiah dipanggil pihak berkuasa pada 11 Julai berhubung artikelnya mengenai gambar presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencium tangan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ketika menghadap baginda di istana pada 21 Mei lalu.

Dalam tulisannya, Fadiah mempersoalkan tindakan Anwar mempertahankan "budaya feudal" ketika banyak negara lain menganggap monarki sebagai "telah lapuk ditelan zaman".

Sehubungan itu, Sevan menggesa kerajaan menyatakan sama ada ia telah melaksanakan sebarang moratorium atau memberikan arahan agar  Akta Hasutan 1948 digantung sementara ia dimansuhkan, atau sama ada undang-undang itu akan dikekalkan.

"Suaram mengulangi seruan kami untuk menghapuskan segera Akta Hasutan 1948. Dua siasatan ini adalah melampau," katanya sambil menambah HARAPAN sepatutnya memansuhkan undang-undang itu serta merta apabila menjadi kerajaan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS