Pentadbiran sebelum ini telah menjadikan rakyat Malaysia bersikap suka berharap duit percuma, sedangkan kerajaan hari ini kekurangan duit untuk diberikan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Orang berharap untuk kita (kerajaan) bagi duit percuma kepada mereka sebab ini perangai yang dipupuk oleh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Dia bagi wang sesuka hati, dan kini orang harap kita bagi mereka duit sesuka hati. Tapi kita tak ada duit," kata Dr Mahathir kepada pemberita selepas menghadiri pameran seni di Serdang hari ini.
Tambah Dr Mahathir, kerajaan hari ini kekurangan duit kerana mereka "tidak curi duit seperti Najib".
Selain itu, tambahnya lagi, kerajaan juga kekurangan duit kerana kebanyakannya digunakan untuk membayar hutang pentadbiran BN.
Dr Mahathir juga menjawab penafian Najib berhubung bayaran balik GST.
"Itu apa kata Najib, dan (Menteri Kewangan) Lim Guan Eng pula kata lain.
"Jika ia (bayaran balik GST) itu tidak hilang, tunjukkan kami mana duit itu," kata Dr Mahathir.
Lim sebelum ini mendedahkan audit Jabatan Kastam Diraja Malaysia mendapati bayaran balik GST kurang RM18 bilion.
Lim juga mendakwa jumlah berkenaan "disalah guna" oleh kerajaan di bawah BN untuk menebus defisit, membiayai projek pembangunan dan "buat sesuka hati".
Bagaimanapun, Lim enggan mengaitkan Najib secara langsung perkara itu dan menyatakan bahawa bekas ketua perbendaharaan negara Tan Sri Irwan Serigar Abdullah seharusnya "tahu" tentangnya.
Irwan menafikan dakwaan itu dan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Jumaat lalu.
Najib, yang juga merupakan bekas menteri kewangan, sebelum ini menjelaskan bahawa kesemua kutipan GST dibayar terus ke dalam Kumpulan Wang Amanah Disatukan kerajaan.
Dari situ, katanya, dana dibayar ke akaun amanah tuntutan GST setiap bulan bagi memenuhi keperluan pembayaran tuntutan secara berterusan.