Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kalau berani cakap dalam dewanlah Najib, kata Mat Sabu

Tumbuk bawah pusat dan tidak budiman - itu tanggapan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu terhadap komen Datuk Seri Najib Razak yang mempersendakannya baru-baru ini.

Ditemui media di parlimen hari ini Mohamad berkata sebagai seorang anggota parlimen bekas perdana menteri itu sepatutnya membuat kenyataan itu di dalam Dewan Rakyat.

Disebabkan kritikan tersebut dibuat di luar, Mohamad berkata, beliau tidak akan melayannya.

“Komen di luar saya tak mahu jawablah... saya nak jawab (kalau) komen dalam parlimen.

"Kalau komen di luar, itu orang kata tumbuk di bawah pusatlah (pengecut). Macam tu tak gentleman-lah... marilah komen dalam ni,” katanya mencabar.

Anggota parlimen Kota Raja yang mesra disapa Mat Sabu itu berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Najib mempertikaikan kemampuannya menjadi menteri pertahanan.

Kata Najib presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu dilihat lebih seperti bahan lawak sejak dilantik ke jawatan itu melalui pembentukan kabinet Pakatan Harapan.

Portal FMT melaporkan, Najib - yang pernah menjadi menteri pertahanan selama 14 tahun - memberitahu hadirin dalam program BN di Sungai Kandis baru-baru ini bahawa Mohamad bukan tokoh yang layak diangkat menjadi menteri pertahanan.

“Menteri pertahanan pun kartun. Pakai (topi) beret pun macam kartun, naik kapal perang cakap nak buat kari ikan.

“Awak ini menteri pertahanan, cakap pasal dasar pertahanan negara, jangan cakap nak buat kari ikan. Ini bukan taraf menteri pertahanan, ini joker, ini kartun,” Najib dilaporkan sebagai berkata.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, terlalu awal untuk beliau membuat komen mengenai kemampuannya sebagai menteri pertahanan.

“Saya baru dua bulan jadi (menteri)... nak nilai seseorang yang dua bulan itu, belum tiba masanya.

“Tumpuan saya pada kementerian pertahanan, waktu saya habis masa saya di situ. Soal menilai tunggulah dan lihat,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS