ADS
mk-logo
Berita

PRK SG KANDIS | Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Mohd Zawawi Ahmad Mughni menafikan dia berkempen keterlaluan sehingga ke dalam sekolah untuk meraih undi bagi pilihan raya kecil pada awal bulan depan.

Menjelaskan keadaan itu Mohd Zawawi berkata kunjungannya ke Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun itu dibuat sebagai memenuhi undangan bagi merasmikan acara larian.

Katanya keadaan itu berlaku kerana dia pernah menjadi yang dipertua persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) sekolah berkenaan.

“Pihak sekolah minta lepaskan larian, tekan siren... itu saja, sebagai penghargaan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Bilik Gerakan PKR di DUN Sungai Kandis, hari ini.

Mohd Zawawi berkata demikian ketika diminta mengulas kritikan orang ramai selepas melihat gambar dia bersama penyokong HARAPAN berada dalam kawasan sekolah

ADS

Melalui gambar itu Mohd Zawawi dan beberapa individu lain hadir memakai baju T berwarna biru serta dihiasi tulisan HARAPAN.

Sebelum ini amalan berkempen di sekolah menjadi satu daripada kritikan paling kerap didengar dilontarkan terhadap BN yang menjadi kerajaan sebelum 9 Mei lalu.

Mengulas lanjut, Mohd Zawawi berkata beberapa individu memakai baju T HARAPAN kerana baju yang disediakan pihak sekolah tidak mencukupi.

ADS

“Saya telah minta pada pihak sekolah untuk beri baju T larian itu dan kebetulan acara itu temanya warna biru muda.

"Oleh kerana kami datang ramai - enam atau tujuh orang - ada kawan yang tak dapat, jadi mereka ini tampil ke permukaan (pentas) dan gambar itu kemudian tersebar,” katanya.

Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai lawatan Datuk Seri Najib Razak ke Sungai Kandis, Mohd Zawawi berkata ia memberikan kelebihan kepada HARAPAN berdasarkan imej yang terpalit terhadap bekas perdana menteri itu.

“Saya berkeyakinan begitu sebab saya diberitahu ada beberapa tempat membatalkan lawatan untuk Najib pada saat-saat akhir.

“Jika dilihat Najib diiringi ramai orang, saya pun tak pasti mereka, sama ada pengundi tempatan atau pelancong politik.

“Dengan imej yang terpalit dalam kes-kes yang berlaku ke atas Najib saya yakin rakyat sudah mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS