ADS
mk-logo
Berita
HARAPAN perlu menang besar di Sg Kandis, kata Syed Saddiq

PRK SG KANDIS | Pakatan Harapan (HARAPAN) perlu menang besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis 4 Ogos ini demi meneruskan kesinambungan agenda pembangunan negara khususnya di Selangor, kata Ketua ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Syed Saddiq Abdul Rahman.

Beliau berkata sekiranya HARAPAN tidak menang besar, ia memberi isyarat bahawa Umno dan PAS akan bergabung menentang HARAPAN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Keputusan PRK ini akan menjadi keputusan sangat unik kerana PAS dan Umno sedang 'test market' (menguji situasi semasa) di mana mereka tidak mahu adakan pertandingan tiga penjuru.

"Kalau kita (HARAPAN) tidak berjaya menang besar, besar kemungkinan ini dijadikan isyarat bahawa kedua-dua parti itu akan bergabung berentap dengan PH dalam PRU akan datang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program "Kenduri Rakyat Nasi Ambeng" di Masjid Ar-Rahimin, Kampung Telok Menegon, di Klang malam tadi.

Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata PRK itu akan menjadi garis ukur untuk melihat kerajaan sedia ada meneruskan agenda pembangunan di negara ini, khususnya di Selangor.

ADS

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan calon PKR DUN Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

PRK DUN Sungai Kandis adalah PRK pertama selepas pilihan raya umum ke-14, 9 Mei lepas, yang akan diadakan berikutan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

Pada PRK 4 Ogos nanti, Mohd Zawawi ditentang calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas, K. Murthy.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS