Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kartunis: Lambat lagilah PAS nak faham satira politik
Diterbitkan:  Jul 25, 2018 4:16 PM
Dikemaskini: 12:12 PM

Kartunis muda Amin Landak mempertahankan kartunnya yang mengundang reaksi keras PAS kerana didakwa “biadab” terhadap parti itu.

Berdepan kemarahan itu, penyumbang luar Malaysiakini itu berharap PAS dan penyokongnya dapat bertenang seketika dan meneliti semula karyanya yang dipertikaikan.

“Lukisan itu pada saya tak ada apa pun sebenarnya.

"Kalau mereka bertenang seketika dan tengok lukisan itu mereka akan faham maksudnya,” katanya.

PAS melalui Facebook rasminya pagi tadi menyifatkan kartun satu muka tanpa dialog itu sebagai “biadab”.

Kartun itu menggambarkan pemimpin PAS sedang membentangkan permaidani merah kepada BN di Sungai Kandis.


Baca: 'Perang kartun' Sg Kandis: PAS lwn Amin Landak


Ia dipercayai merujuk kepada keputusan PAS tidak bertanding dan memberi laluan kepada BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Facebook pro-PAS "Tentera Hijau Kebangsaan Malaysia" turut membalas kembali usikan Amin dengan mengubah suai kartun itu, bagi menggambarkan Parti Amanah Negara (AMANAH) membentangkan permaidani PKR kepada DAP dan Pakatan Harapan.

Amin terkenal dengan kartun-kartun satira politik, khususnya dalam siri “Yak Bok Te!”

'Kritik atas kapasiti ahli politik'

Sementara itu, menjawab soalan portal ini, Amin menolak tanggapan kartunnya itu menghina agama atau ahli agama.

“Kebanyakan mereka cakap kartun tu menghina agama, tapi saya tertanya juga apa yang menghina agama itu? Di mana kartun itu menghina agama?

“Lagi pun saya kritik atas kapasiti dia sebagai orang politik bukan seorang ustaz/ ulama/ ahli agama.

“Mereka kena faham perbezaan ahli politik dan agamawan. Kalau ini pun mereka tidak boleh faham lambat lagilah mereka nak faham apa itu komik satira politik,” katanya.

Amin dipercayai merujuk kepada tafsiran sesetengah pengguna maya yang berbeza daripada apa yang didakwa dimaksudkannya.

“Orang Melayu-Islam dalam Pakatan Harapan menjadi ayam suruhan. Perhatikan betul-betul. Hayati secara mendalam, dilukiskan orang pakai serban dan kopiah. Bermakna orang Melayu-Islam sanggup jadi hamba lagi. Kembali kepada cerita lama lama. OK faham,” tulis Ahmad Nazri.

PRK DUN Sungai Kandis bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru calon BN Datuk Lokman Noor Adam, calon PKR Zawawi Mughni dan calon bebas K Murthy.

Ia diadakan susulan penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei, orang lama reformasi serta bekas setiausaha politik menteri besar Selangor, meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) lalu, Shuhaimi daripada PKR memenangi kerusi itu dengan 23,998 undi selepas menewaskan calon BN Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS