Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Antara Umno dan PKR, ahli PAS digesa pilih Melayu-Islam
Diterbitkan:  Jul 22, 2018 9:02 PM
Dikemaskini: 1:05 PM

PRK SG KANDIS | Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menggesa anggota parti itu membuat pilihan berdasarkan pertimbangan wajar demi kepentingan Islam-Melayu dalam mengundi antara calon PKR dan Umno yang bertanding dalam PRK kali ini.

"Sehubungan dengan itu, ahli-ahli PAS di Sungai Kandis diarahkan membuat pilihan berpandukan pertimbangan yang wajar demi kepentingan Islam-Melayu serta masa depan negara dengan mengambil kira sikap PAS terhadap kerajaan baru Pakatan Harapan adalah kekal sebagaimana sebelum PRU14 lalu," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Selain mengambil kira sikap PAS terhadap HARAPAN pada PRU lalu, Takiyuddin juga berkata peranan semak dan imbang pembangkang dalam pentadbiran kerajaan, termasuk Selangor adalah penting.

"PAS juga berpandangan suatu amalan demokrasi yang baik (good democratic practice) memerlukan proses semak dan imbang (check and balance) dalam pentadbiran sesebuah kerajaan, termasuklah Kerajaan Selangor.

"Dengan kata lain peranan pembangkang adalah amat penting," katanya.

PAS tak letak calon PRK Balakong

Takiyuddin menjelaskan sebab parti itu tidak meletakkan calonnya pada PRK Sungai Kandis dan akan datang pada PRK Balakong.

"PAS mengambil keputusan tidak meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) N.49 Sungai Kandis kerana ingin mengkaji terlebih dahulu Hasil Dapatan Jawatankuasa Post-Mortem PRU 14 PAS Pusat yang sedang disiapkan ekoran tahap keputusan dalam PRU yang lalu, khususnya di Negeri Selangor.

"Keputusan ini turut terpakai dalam PRK DUN Balakong.

Bagaimanapun, PAS berkata tidak akan menurunkan jentera parti dalam PRK Sungai Kandis.

"Oleh itu, PAS tidak menurunkan jenteranya dalam PRK Sungai Kandis, namun seluruh jentera PAS akan terus bergerak sebagaimana biasa dalam mengukuhkan parti pasca PRU14 bagi membuat persiapan menghadapi PRU15," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS