ADS
mk-logo
Berita
Calon BN tak percaya BERSIH, harap pengundi selamatkan M'sia

Calon BN dan bekas orang kuat demonstrasi pada era reformasi, Datuk Lokman Noor Adam, menegaskan beliau tidak mempercayai petugas BERSIH untuk memantau perjalan pilihan raya kecil Sungai Kandis pada 4 Ogos ini.

Kata anggota Majlis Tertinggi Umno itu, meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersetuju membenarkan BERSIH menghantar 38 pemantau, beliau sebaliknya hanya berharap kepada rakyat untuk menyelamatkan negara untuk memastikan perjalanan proses berkenaan berjalan dengan telus.

“Saya tidak mengharap apa-apa daripada BERSIH kerana pertama, mereka tak bersih, dan kedua mereka ditaja oleh George Soros (melalui Open Society Foundation) iaitu pihak asing.

"Jadi saya hanya berharap pada rakyat Malaysia untuk menyelamatkan negara ini,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Lokman berkata demikian sebagai mengulas kebenaran yang diberikan oleh SPR kepada BERSIH untuk memantau pilihan raya kecil Sungai Kandis.

ADS

Semalam, Pemangku Pengerusi BERSIH Shahrul Aman Mohd Saari berkata pilihan raya kecil kali ini akan menjadi penanda aras kepada proses pilihan raya dalam fasa Malaysia baru.

Katanya lagi, tindakan SPR melantik empat badan baru sebagai pemerhati - iaitu BERSIH, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Kelab Pemikir Politik Nasional (Pemikir) dan Engage - diharap dapat memastikan ketelusan proses demokrasi di negara ini.

Untuk rekod, seramai 69 pemerhati dilantik bagi pilihan raya kecil itu dengan BERSIH menghantar paling ramai wakil, diikuti Pemikir (10 orang), Universiti Kebangsaan Malaysia (7 orang), Suhakam (6 orang), Persatuan Orang Kota Bharu (4 orang) dan Engage (4 orang).

ADS

Pilihan raya kecil Sungai Kandis bakal menyaksikan petembungan antara Lokman dan Mohd Zawawi Ahmad Mughni, 48, sebagai calon Pakatan Harapan (HARAPAN).

Penamaan calon akan diadakan esok manakala hari pengundian 4 Ogos ini.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong berikutan penyandangnya, Shuhaimi Shafiei daripada PKR meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS