Datuk Seri Najib Razak berkata beliau tidak mengarahkan bahagian penyelidikan Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk menulis surat kepada Agensi Risikan Pusat (CIA), Amerika Syarikat (AS) bagi memohon sokongan negara itu, menjelang pilihan raya umum 9 Mei lalu.
Bekas perdana menteri juga berkata beliau tidak tahu menahu berkaitan surat itu dan apa yang dilaporkan berkaitan surat-menyurat yang mencadangkan bertujuan mendapatkan sokongan AS selepas, bukan sebelum pilihan raya.
“Saya terkejut,” katanya kepada Malaysiakini petang ini.
“Saya tidak tahu pun kewujudannya.
"Bukan semua surat kena lalu saya,” katanya.
Baca: JPM minta AS sokong Najib jika BN menang tipis
Najib berkata, agensi kerajaan, termasuk yang berkaitan dengan hal ehwal risikan, mempunyai kuasa autonomi untuk menjalankan tanggungjawabnya berdasarkan pertimbangan sendiri.
“Sementara saya tidak ada peluang untuk lihat surat itu, apa yang dilaporkan media mencadangkan surat bagi mendapatkan sokongan berterusan AS untuk kerajaan Malaysia jika BN menang dalam pilihan raya bagi tujuan kestabilan selepas pilihan raya.
“Apa yang dilaporkan surat itu tidak dilihat mendapatkan bantuan AS untuk menang pilihan raya – tetapi selepas pilihan raya,” katanya.
Najib berkata surat itu mungkin dihantar dengan niat memelihara kestabilan kerajaan selepas kerajaan jika terdapat kemenangan tipis.
“Mungkin media dapat mendedahkan keseluruhan surat itu supaya orang ramai, termasuk saya, lebih faham,” tambahnya.
Setelah melihat tiga halaman surat bertarikh 4 Mei kepada pengarah CIA ketika itu Gina Haspel, Malaysiakini sebentar tadi melaporkan surat itu meminta dukungan AS terhadap pentadbiran Najib jika BN menang mudah atau hanya menang satu kerusi.
Surat itu menggambarkan Najib sebagai pemimpin progresif dan mesra AS sedangkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang ketika itu memimpin barisan pembangkang, sebagai “anti-Barat”.
Sumber yang dekat dengan kerajaan Pakatan Harapan mengesahkan kesahihan surat tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.
Sementara itu, sumber yang dekat dengan Najib menyuarakan rasa kecewa dengan tuduhan Najib khianat pada negara dengan kewujudan surat itu.
“Sedangkan ia dilihat seperti dihantar dengan hasrat baik supaya negara ini tidak jatuh ke kancah sengketa awam atau demonstrasi besar selepas PRU14 jika kerajaan tergantung atau kemenangan tipis berlaku.
"Bukankah kerajaan sekarang mempunyai perkara lebih penting selain membocorkan surat perisikan ketenteraan yang sensitif di antara negara-negara kepada media untuk terus memfitnah Najib?
“Sebagai contoh, perkara lebih penting seperti mentadbir negara sekarang memandangkan kamu yang berkuasa," katanya kepada Malaysiakini.