Pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis di Selangor nanti mungkin akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara BN dan Pakatan Harapan.
Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata satu lagi parti pembangkang utama, PAS, sedia memberi laluan kepada mereka dengan tidak meletakkan calon.
“Setakat ini kita dimaklumkan satu lawan satu.
“PAS sedia beri laluan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusi mesyuarat Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda Umno negeri di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 4 Ogos ini sebagai hari pengundian, manakala hari penamaan calon pada 21 Julai ini.
Mengulas lanjut Asyraf berkata, pergerakan itu juga sudah menyerahkan senarai nama untuk dipertimbangkan pucuk pimpinan parti sebagai calon PRK Sungai Kandis.
"Kita sudah menyerahkan nama. Di peringkat Pemuda, kami mengharapkan calon orang muda di PRK Sungai Kandis, namun itu bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan.
“PRK Sungai Kandis menjadi medan untuk memanfaatkan sepenuhnya jentera BN kerana kekuatan jentera BN adalah di peringkat akar umbi,” katanya.
Kerusi DUN Sungai Kandis kosong susulan penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.
Pada pilihan raya umum ke-14, Mat Shuhaimi memperoleh 23,998 undi menewaskan calon BN daripada Umno, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).