Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BERSIH diundang jadi pemerhati PRK Sungai Kandis

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengundang BERSIH untuk menjadi pemantau pilihan raya kecil (PRK) DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos ini, dengan tempoh kempen selama 14 hari.

Pengarah Eksekutif BERSIH Yap Swee Seng memberitahu Malaysiakini mereka menerima surat daripada SPR pada 6 Julai lalu yang menyatakan perkara itu.

Yap berkata BERSIH akan menulis surat kepada SPR berhubung terma rujukan sebelum membuat keputusan dan menggesa SPR memberitahu terma itu kepada umum.

"Masalahnya pada 2013, ketika beberapa NGO diundang untuk membuat pemantauan (pilihan raya). Salah satu syarat adalah mereka dilarang menerbitkan laporan.

"Kami merasakan ia syarat yang tidak wajar. Sebab itu kami mahu SPR memberitahu terma rujukan kepada umum.

"SPR berkata terbuka kepada semua NGO untuk memohon menjadi pemerhati PRK. Pada masa sama, mereka patut mendedahkan apakah terma rujukan kepada NGO ini yang mahu melakukan pemantauan," kata Yap.

Beliau juga membangkitkan kebimbangan mereka terhadap batasan terhadap NGO pemantau, seperti yang disebut dalam surat SPR.

Setiap organisasi hanya dibenarkan menghantar empat wakil dan semuanya perlu warga Malaysia dengan usia minimum 21 tahun, katanya memetik surat itu.

"Kami rasa ini juga tidak munasabah kerana jika mereka mahu undang NGO untuk memantau, mereka patut serahkan kepada NGO untuk menentukan berapa orang yang akan dihantar, bukan meletakkan had.

"Mereka juga patut buka kepada pemantau luar juga, dan terma rujukan perlu sama," katanya lagi.

Ditanya berapakah jumlah pemerhati yang sesuai, Yap berkata sepatutnya ada sekurang-kurangnya 109 pemerhati bebas - untuk setiap saluran mengundi.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafie pada 2 Julai lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS