Sejumlah 40 jabatan dan agensi bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dipindah ke kementerian lain berkuatkuasa 1 Julai 2018.
Dalam surat bertarikh 26 Jun lalu yang dilihat Malaysiakini, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa mempersetujui pemindahan itu yang merupakan sebahagian rasionalisasi struktur JPM.
Cadangan tersebut dibawa JPM dan melalui perbincangan antara Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ali.
Antara yang terlibat adalah Program Permata Negara (PERMATA) - dinaungi isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor - yang dipindah ke Kementerian Pendidikan.
Program 1Malaysia For Youth (1M4U) cetusan idea Datuk Seri Najib Razak pula diletakkan bawah Kementerian Belia dan Sukan.
Sejumlah agensi diletakkan bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, antaranya Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU).
Selain itu, Jabatan Perangkaan, Halal Development Corporation (HDC), Amanah Raya Berhad, Ekuiti Nasional Berhad serta Yayasan Ekuiti Nasional juga diletakkan bawah kementerian itu.
Penstrukturan semula ini juga menyaksikan lima koridor dan wilayah ekonomi dipindah ke Kementerian Kewangan, manakala Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) ke Kementerian Dalam Negeri.
Unit Pemodenan Pentadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) pula akan dipindahkan ke Kementerian Komunikasi dan Multimedia manakala Perbadanan Tenaga Nuklear Malaysia pula dipindahkan ke Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.
Penstrukturan semula ini melibatkan 90 jabatan dan agensi. Kini hanya 26 yang kekal di bawah JPM.
Selain pemindahan, ada juga jabatan dan agensi yang dibubarkan atau digabungkan dengan yang lain.