Paling Popular
Terkini

PEMILIHAN UMNO 2018 | Umno dihukum kerana keangkuhan pemimpinnya, kata calon naib presiden parti itu, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Malah, bekas Menteri Kewangan II itu berkata kerana keangkuhan itulah juga parti terbabit kalah teruk pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu.

"Kita berasa seperti kita ni begitu hebat di kawasan kita, sebab itulah kita boleh cakap apa sahaja yang kami mahu.

"Tetapi kata-kata itu merosakkan seluruh rakan-rakan kita (Umno) yang tidak terlibat dalam kenyataan tersebut.

"Inilah sebabnya rakyat menghukum kita. Bukan hanya orang-orang (yang sombong) tetapi parti kita (secara keseluruhan). Sebab itu parti kita kalah (pada PRU lalu)," kata Johari semasa berucap di mesyuarat perwakilan Umno Titiwangsa di sebuah hotel di Ampang hari ini.

Umno menerima tamparan hebat pada PRU lalu apabila terlepas daripada kuasa - buat kali pertama - kepada Pakatan Harapan.

Sebahagian pihak yakin kegagalan pemimpin Umno mendengar suara rakyat menyumbang kepada kekalahan berkenaan, selain isu semasa termasuk kos sara hidup serta 1MDB.

Menurut Johari Umno kini tidak lagi mempunyai pemimpin yang bijak dan boleh dipercayai, sekali gus menyumbang kepada kekalahan mereka pada PRU lalu.

"Jika kita mempunyai pemimpin yang mewarisi kepimpinan Umno, dari masa ke masa, kita akhirnya kehilangan unsur-unsur yang kita rujuk sebagai empat elemen kepimpinan penting," katanya.

Unsur-unsur kepemimpinan tersebut katanya, ialah jujur, amanah, bijaksana dan bertanggungjawab melakukan kerja yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Jadi pembangkang progresif

Pada masa sama, Johari berkata generasi terdahulu tidak dapat mengkritik kepimpin Umno kerana kurang mendapat pendedahan tentang perkembangan semasa.

Tetapi kini kata Johari, generasi muda menjadi lebih kedepan dalam menghakimi kualiti kepimpinan mereka.

"Apabila kita mempunyai pemimpin yang hanya menggantikan satu sama lain, yang tidak mempunyai empat ciri yang saya nyatakan sebelum ini, akhirnya, itulah sebabnya (kekalahan Umno)," katanya.

Selain itu, Johari juga menasihati anggota Umno agar mengubah pola pemikiran mereka supaya dapat menjadi pembangkang yang progresif.

Katanya, pemimpin Umno harus mengkritik kerajaan baru dengan fakta dan bukan hanya berdasarkan khabar angin yang belum tentu kesahihannya.

Mesyuarat perwakilan dan pemilihan Umno peringkat bahagian dan majlis tertinggi bermula hari ini dengan tumpuan pastinya terarah kepada perebutan jawatan presiden.

Lima calon sebelum ini telah diumumkan bertanding bagi jawatan nombor satu parti itu termasuk tiga yang paling dikenali iaitu Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, naib presiden yang menjalankan tugas-tugas presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Ketua Pemuda Umno yang juga Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Dua lagi pencabar kerusi berkenaan ialah anggota Umno Bandar Tun Razak Mohamed Iqbal Maricair dan anggota Umno Bahagian Iskandar Puteri Mohd Yusof Musa @ Jamaluddin.

Mesyuarat perwakilan Umno bermula hari ini di 191 bahagian dengan agenda utama hanya untuk memilih barisan kepimpinan di peringkat bahagian dan majlis tertinggi bagi sesi 2018-2021.

Bagi jawatan timbalan presiden pula, ia bakal menyaksikan persaingan di antara Anggota Majlis Tertinggi Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa.

Tujuh calon lagi akan bertanding merebut tiga jawatan naib presiden iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin, Sheikh Razali Sheikh Hamad, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Ahmad Said.

Seramai 106 calon pula akan bertanding merebut 25 jawatan sebagai anggota Majlis Tertinggi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS