Senarai penuh wang tunai dan barang rampasan dari premis dikaitkan dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak telah diberikan kepada penghuni tempat masing-masing, kata polis.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh menafikan dakwaan Najib bahawa pihaknya tidak mendapat senarai lengkap barang rampasan daripada pihak berkuasa.
Najib juga mendakwa tidak dibekalkan dengan gambar barang-barang rampasan.
“Senarai dah bagi pada tuan rumah. Semua tempat yang kita geledah ada bagi senarai penuh.
“(Ia) diberi pada orang yang ada di rumah itu. (Senarai) telah diberi semua pada mereka. Apa lagi dia nak?
“Diberi pada semua yang ada penghuni. Kalau ada pekerja kita bagi pada pekerja,” katanya kepada Malaysiakini.
Polis semalam mendedahkan nilai pasaran barang rampasan di hartanah dikaitkan dengan Najib, termasuk beribu-ribu barang kemas, berjumlah antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion.
Bagaimanapun dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini di ibu pejabat portal ini di Petaling Jaya semalam, Najib berkata nilainya “subjektif dan tidak realistik”.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mempertahankan anggaran nilai yang diumumkan mereka semalam atas alasan ia dibuat dengan bantuan pakar.