Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dikatakan membayar barisan penasihatnya sehingga RM200,000 sebulan, tidak termasuk faedah dan kelebihan lain, menurut laporan The Malaysian Insight hari ini.
Laporan yang memetik sumber itu berkata, penasihat Najib menikmati gaji antara RM70,000 hingg RM200,000 sebulan.
"Tetapi setakat ini kami hanya mengenalpasti seorang yang mendapat gaji RM200,000 sebulan. Ini hampir sepuluh kali ganda lebih tinggi berbanding gaji perdana menteri. Pemeriksaan masih berjalan.
"Mereka bukan saja mendapat gaji tinggi, tetapi juga menerima banyak faedah dan kelebihan lain," kata sumber itu seperti dipetik.
Laporan itu juga berkata penasihat dengan gaji terbesar itu juga merupakan "bekas menteri kabinet yang menjadi penasihat kepada Pejabat Perdana Menteri", dan mengetuai sebuah unit di situ.
Bagaimanapun nama individu tersebut tidak dinyatakan dalam laporan itu.
Seorang lagi penasihat yang mendapat gaji tinggi - juga tidak dinamakan - bertanggungjawab dalam soal "jenama 1Malaysia," kata laporan itu.
Maklumat ini diperoleh selepas pegawai kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) meneliti dokumen rahsia milik pentadbiran BN dulu.
Sejak HARAPAN mentadbir negara, semua penasihat ini tidak lagi dibayar gaji oleh kerajaan.
"Semua pegawai ini tidak lagi bekerja dengan kerajaan. Kebanyakannya mengosongkan pejabat sebaik selepas kekalahan BN.
"Mereka sama ada pergi secara sukarela tanpa memberitahu kami atau diminta untuk berbuat demikian," kata sumber itu seperti dipetik.
Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata sejumlah 17,000 lantikan politik akan diberhentikan bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan.