Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kekalahan BN/Umno berkait Najib, kata Nur Jazlan
Diterbitkan:  May 21, 2018 4:02 PM
Dikemaskini: 8:05 AM

Seorang lagi pemimpin Umno tampil menbidas bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berikutan kekalahan mengejut BN pada pilihan raya umum ke-14.

Bagi, bekas timbalan menteri dalam negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed adalah mustahil Najib tidak sedar bahawa BN dan Umno di ambang kekalahan susulan masalah dengan kepimpinan serta kegagalannya menangani dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan dirinya dalam isu 1MDB.

"Jangan beritahu saya dia tidak baca media sosial seperti Facebook dan Twitter, mengenai isu-isuberhubung diri dan keluarganya? Mustahil.

"Dalam politik, beliau, sebagai pemimpin parti, sepatutnya mengetahui bahawa semua persepsi negatif terhadap diri dan keluarga beliau akhirnya akan menyebabkan kekalahan Umno dan BN.

"Kami tewas kerana persepsi ini, kerana semuanya berkait dengannya," kata ahli majlis tertinggi Umnoi tu yang tewas di Parlimen Pulai pada pilihan raya 9 Mei lalu kepada akhbar The Sun.

Bidasan Nur Jazlan itu dibuat beberapa hari selepas pemimpin pemuda Umno Khairy Jamaluddin memberitahu Channel News Asia bahawa dia menyesal tidak memberitahu Najib bahawa akar umbi menolak Umno berikutan penyingkiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dari parti itu.

Berikutan kekalahan teruk BN pada 9 Mei lalu, Najib kemudian meletak jawatan sebagai presiden Umno dan pengerusi BN.

Mengulas lanjut, Nur Jazlan berkata, sebagai seorang ahli politik kanan yang mempunyai pengalaman lebih 40 tahun, Najib sepatutnya menyedari bahawa populariti Umno menjunam sejak isu 1MDB didedahkan pada tahun 2014.

Justeru, katanya, Najib mesti bertanggungjawab terhadap tuduhan yang dibuat terhadap diri dan keluarganya semasa memegang jawatan sebagai presiden parti.

"Sebelum pilihan raya, nasib Umno sentiasa bergantung kepada beliau. Sekarang kita telah tewas, dia harus jawab semua tuduhan yang dilontarkan untuk memulihkan kredibiliti Umno dan BN, jika dia percaya ia tidak benar," katanya.

Nur Jazlan berkata banyak ahli Umno memilih untuk tidak menyuarakan teguran kepada Najib sebelum ini, kerana rasa hormat terhadapnya. Beliau juga mengakui bahawa dirinya juga pernah menegur kepimpinan tertinggi parti tetapi “kurang bercakap” setelah dilantik menganggotai pentadbiran kerajaan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS