Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ketua SPRM, pengerusi SPR akan turut disiasat
Diterbitkan:  May 11, 2018 2:26 PM
Dikemaskini: 10:33 AM

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan kepimpinan atasan SPRM menyaksikan perubahaan jika didapati bahawa badan pencegah rasuah itu berlaku tidak adil.

"Kita akan kaji sama ada SPRM adil atau tidak. Jika kita dapati bahawa mereka berat sebelah selama ini dalam apa jua cara, termasuk terhadap diri kita sendiri, kita perlu menukar mereka.

"Seperti yang dijanjikan, semua ketua (agensi) utama yang baru akan disaring oleh parlimen," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini, Mahathir mendakwa SPRM gagal bertindak terhadap amalan rasuah.

Sebagai contoh, katanya, ini berlaku semasa pilihan raya umum ke-14.

"Sepanjang pilihan raya, SPRM seolah-olah mengabaikan hakikat bahawa rasuah berlaku.

"Dalam dua hari terakhir, sebagai contoh, tidak ada ucapan yang dibuat, hanya wang yang diedarkan.

"Kami akan menyiasat semua perkara ini kerana kami mahu mematuhi undang-undang dan bukannya membalas dendam," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur.

Mahathir juga ditanya sama ada kerajaan juga akan meneliti semula kedudukan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

"Jika kita dapati dia terlibat dalam amalan rasuah, berat sebelah dan semua itu, kita terpaksa bertindak ke atasnya," kata Mahathir.

Hutang negara cecah RM800 bilion

Menurut beliau, tindakan siasatan perlu bagi memastikan pentadbiran kerajaan HARAPAN kini tidak terpalit dengan amalan yang boleh merosakkan.

"Ketua-ketua jabatan tertentu mesti digugurkan. Saya dapati sesetengahnya bersubahat dan membantu pemimpin terdahulu yang kleptokrasi.

"Sesetengah orang yang rapat dengan saya dikunjungi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan ada juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysi (SPRM) dan mereka dikenakan cukai tambahan (ketika pentadbiran kerajaan terdahulu).

"Saya akan pulangkan semula (duit mereka)," katanya pada sidang media di sini, selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketujuh, semalam.

Dr Mahathir berkata, negara juga ketika ini dibelenggu masalah pengurusan kewangan, selepas Bank Negara mendapati jumlah keseluruhan hutang yang dipinjam kerajaan terdahulu daripada institusi kewangan berjumlah hampir RM800 bilion.

"Tetapi sebenarnya saya jangka jumlah yang tersembunyi dipercayai mencecah RM1 trilion," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS