Pengarang perniagaan veteran P Gunasegaram mengajak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy untuk membincangkan isu berkaitan syarikat pelaburan itu secara terbuka.
Guna membuat undangan itu selepas Arul mengkritiknya kerana menulis artikel di Malayiakini bertajuk “Arul Kanda is 'god-sent' to 1MDB” semalam.
Arul berkata demikian kerana Gunasegaram, kolumnis Malaysiakini, menghentamnya tetapi didakwa tidak berani hadir bertanya soalan itu secara berdepan ketika Arul Kanda diwawancara portal ini dua minggu lalu.
Arul berkata, beliau menghabiskan tiga jam menjawab pelbagai soalan berkaitan 1MDB di pejabat Malaysiakini di Petaling Jaya tetapi Gunasegaram tidak pun muncul untuk bertanya soalan.
Arul juga berkata Gunasegaram tidak menghubunginya bagi mendapatkan penjelasan sebelum menulis artikelnya.
Sementara itu, Gunasegaram berkata beliau terkejut dengan tindakan Arul menggelarnya pengecut.
Gunasegaram mendakwa Arul yang sebelum ini enggan bertemu dengannya.
“Ketika saya bersama (portal dan majalah perniagaan) KiniBiz, saya cuba dapatkan wawancara dengan dia, tetapi dia tidak setuju,” katanya.
Sementara itu, Gunasegaram juga menegaskan beliau bukan kakitangan Malaysiakini tetapi hanya seorang penulis kolumnya.
Justeru, kata Gunasegaram berkata, beliau tidak beroperasi dari pejabat Malaysiakini atau tahu berkaitan jadual sidang redaksi Malaysiakini, termasuk wawancara dengan Arul itu.
Gunasegaram juga berkata, sebagai kolumnis, beliau tidak perlu mendapatkan maklum balas Arul kerana beliau hanya berkongsi pandangan sendiri dalam isu yang diulasnya.
“Saya sedih orang hebat seperti Arul ini tidak dapat membezakan antara berita dan kolum.
“Bagaimanapun, jika Arul fikir saya salah dan dia tidak diberikan hak untuk menjawab, saya sedia mengadakan perbincangan terbuka dengannya isu 1MDB,” katanya.
Ketika cadangan ini diajukan kepada Arul, belau menjawab “sudah pun memberikan tiga jam kepada Malaysiakini”.