PRU14 | Perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata beliau yakin anak-anak bumiputera tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) di seluruh negara akan memastikan tsunami Melayu tidak terjadi dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Menurut Najib, golongan itu yang sebahagian besar memegang jawatan-jawatan penting merupakan political base (kubu politik) kepada BN.
"Jutaan anak-anak MARA di seluruh negara yang sebahagian besar memegang jawatan-jawatan penting merupakan political base (kubu politik) kepada BN.
"Kalau kita tergelincir dari landasan perjuangan tersebut maka saya percaya jutaan anak-anak MARA tidak akan mengizinkan perkara itu," katanya.
Najib berkata demikian di hadapan ribuan pelajar alumni MARA di hangar Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (MIAT) di Subang Jaya.
Pengerusi BN itu turut mendakwa pembangkang tidak senang dengan institusi bumiputera yang ada di Malaysia.
"Mereka (pembangkang) akan melihat kalau ada institusi bumiputera yang tidak selaras dengan konsep Malaysian Malaysia pasti mereka akan melakukan sesuatu terhadap institusi itu.
"Sebab itu amat penting bagi kita untuk pastikan dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 ini tidak akan berlaku tsunami Melayu," katanya.
Selain itu, Najib juga mengingatkan bahawa masa depan ramai anak Melayu dan bumiputera berubah kerana sumbangan MARA.
Justeru, beliau menyeru agar sokongan terus diberikan kepada Umno dan bukannya kepada pihak yang sering menyalahkan kerajaan.
"Selagi Umno berkuasa, MARA akan terus wujud. Ini kerana perjuangan MARA sama dengan pejuangan allahyarham ayah saya dan saya akan teruskan perjuangan beliau," katanya.