Dalam kritikan yang jelas ditujukan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad semalam, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggesa penduduk negeri itu agar tidak terpedaya dengan individu "lidah bercabang".
Dan ramai nampaknya yang tidak setuju dengan pandangan itu.
Ada yang memilih untuk tidak berlapik walaupun mungkin berdepan tindakan, namun majoritinya dengan penuh beradab mengingatkan Tunku Ismail bahawa dalam sistem raja berperlembagaan, golongan diraja tidak sepatutnya dilihat berpihak dalam pertembungan politik.
Orang ramai juga menyifatkan kecaman Tunku Ismail terhadap bekas perdana menteri itu bersifat peribadi.
Menurut penyandang kerusi parlimen Kluang Liew Chin Tong, pakar strategi BN berharap kepercayaan dan sokongan orang Johor terhadap istana dapat membantu BN.
"Tetapi saya rasa (berdasarkan) maklum balas yang kita baca semalam, mungkin sokongan (terhadap) istana tidak boleh dipindah kepada BN Johor," katanya (gambar) kepada pemberita selepas acara di Ayer Hitam, hari ini.
Beliau yang juga pengerusi DAP Johor bakal mencabar Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong di kerusi parlimen Ayer Hitam pada PRU kali ini.
Beliau ditanya sama ada kenyataan panjang Tunku Ismail yang disiarkan di Facebook semalam akan menyukarkan rancangan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk menang di Johor - tempat lahir Umno - pada PRU ke-14.
Liew mengimbas kembali slogan pengasas Umno Datuk Onn Jaafar pada 1946 yang berbunyi "raja adalah rakyat, rakyat adalah raja."
"Dalam sejarah Malaysia, kuasa rakyat sentiasa penting. Rakyat dan kebijaksanaan pengundi adalah faktor paling penting.
"Penubuhan Umno pada 1946 adalah manifestasi kuasa rakyat pada masa itu. Umno ditubuhkan atas dasar 'raja itu rakyat, rakyat itu raja'," katanya lagi.
Beliau mendakwa sejak skandal 1MDB meletus pada 2015, banyak tinjauan menunjukkan sokongan orang Johor terhadap kerajaan BN telah merosot.
Isu penting bagi HARAPAN di johor adalah Datuk Seri Najib Razak, kos sara hidup dan ekonomi.
"BN Johor mungkin cuba memisahkan (kaitan) kerajaan pusat dengan kerajaan negeri. Mereka tidak akan sebut nama Najib kerana nama itu memang toksik dan racun di kalangan pengundi Johor," katanya lagi.