PARLIMEN l Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee hari ini menggantung tiga anggota parlimen DAP selama sepuluh hari selepas mereka enggan memohon maaf daripada Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Ronald berkata tindakan Ngeh Khoo Ham (DAP-Beruas), V Sivakumar (DAP-Batu Gajah), dan Nga Kor Ming (DAP-Taiping) adalah satu penghinaan kepada speaker kerana tidak mengendahkan kuasanya serta menjejaskan nama baik dan prestij Dewan Rakyat.
"Ia adalah perbuatan yang menghina Majlis Mesyuarat dan tidak mengendahkan kuasa speaker seperti yang dinyatakan dalam Peraturan Mesyuarat 44(2).
"Oleh itu, saya mengarahkan anggota Beruas, Taiping, dan Batu Gajah untuk keluar dewan untuk sepuluh hari bermula 26 Mac 2018," katanya.
Pandikar, dalam satu surat 14 Mac lalu kepada ketiga-tiga pemimpin DAP itu berkata kata-kata mereka yang menuntutnya meletak jawatan adalah satu bentuk penghinaan kepada Dewan Rakyat dan memberi peluang kepada mereka untuk memohon maaf secara terbuka.
Katanya, kegagalan mereka berbuat demikian akan menyebabkan tindakan tegas diambil.
Pandikar dilaporkan tersinggung dengan kenyataan mereka sebelum ini bahawa speaker tidak sepatutnya menjadi "sekutu untuk menutup skandal rasuah" dan “sebagai speaker, Pandikar gagal menegakkan kebenaran, justeru, perkara paling mulia untuk dilakukannya adalah meletakkan jawatan."
Ini susulan keputusan Pandikar yang menolak usul segera mereka berhubung isu rampasan kapal persiaran milik ahli perniagaan Jho Low dan soalan berkaitan 1MDB.
Kapal The Equanimity dirampas oleh pihak berkuasa Indonesia di Benoa, Bali, akhir bulan lalu.
Pemfailan mahkamah oleh Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat mendakwa kapal itu dibina dan diselenggarakan dengan menggunakan lebih daripada AS$250 juta yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB.