Berikutan tergantungnya kain rentang antaranya bertulis #TolakJohariGhani, Kelab Aku Budak Chow Kit (KABCK) berkata pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada ia merupakan perbuatan anggota kelabnya atau tidak.
Ini kerana, pengerusi kelab tersebut Ahmad Ayob Ramli berkata, KABCK mempunyai anggota di sekitar Kuala Lumpur dan beliau tidak dapat memastikan sama ada perbuatan berkenaan dilakukan ahlinya.
Bagaimanapun, Ahmad mengakui beliau tidak menyukai anggota parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani kerana didakwa sering memberikan alasan untuk tidak menghadiri program anjuran kelab berkenaan.
Namun, katanya ia tidak bermakna beliau mengarahkan anggotanya melakukan perkara sedemikian.
"Nak kata ya (sama ada menggantung kain rentang anti Johari) tak boleh, nak kata tidak pun tak boleh sebab ahli kita merata-rata di Kuala Lumpur.
"Saya memang tak suka Datuk Jo (Johari) sebab dia dah hampakan pengundi-pengundi dia di Titiwangsa, ahli kelab kita ni semua pengundi-pengundi dia di Titiwangsa.
"Setiap majlis yang kita anjurkan satu pun dia tak hadir tapi majlis yang dianjurkan orang asing dia datang. Dia lebihkan masyarakat asing dari pengundi dia.
"Kita dah terbuku lama dengan sikap pemimpin yang bongkak, sombong dan rasa steady dengan jawatan dia," katanya kepada Malaysiakini.
Nama KABCK muncul ekoran kelab itu secara terbuka mengkritik Johari dan menyatakan sokongan terhadap kain rentang anti-Johari di Facebook.
Sebelum ini tersebarnya gambar kain rentang yang bertulis 'Say no to DJ' (Datuk Johari atau Datuk Jo) dan kain rentang dengan pesanan menolak Johari yang 'sombong' di kawasan Titiwangsa menjadi tular di media sosial.
Salah satu gambar memaparkan wajah Johari dipangkah. Manakala satu lagi gambar menampilkan kira-kira 20 orang belia memakai baju kemeja T dengan mesej 'asalkan bukan Joe Ghani, #ABJ'.
Kain rentang berkenaan dipercayai digantung di sekitar kawasan Chow Kit dan Keramat.
Ekoran itu Menteri Kewangan Kedua itu mendakwa beliau disabotaj anggota partinya sendiri seperti dilaporkan Malaysiakini.
"Terdapat seseorang di bahagian Umno saya yang berminat menjadi calon di Titiwangsa dan memulakan kempen memburuk-burukkan wibawa saya," kata Johari merangkap Ketua Umno Bahagian Titiwangsa itu tanpa menamakan orang tersebut.
"Apapun, saya tiada masalah dengan hal ini kerana pengundi di Titiwangsa yang akan memutuskannya," kata Johari lagi.
Pada 2013, Johari hanya menang dengan majoriti tipis iaitu sebanyak 866 undi.
Pada PRU14 ini, beliau dijangka dicabar Timbalan Pengerusi Biro Polisi dan Strategi BERSATU Wan Saiful Wan Jan dan Ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Salleh.