Perang mulut antara Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz dengan Ketua Pemuda MCA Datuk Chong Sin Woon nampaknya belum berakhir.
Terbaru, Nazri membidas Chong yang menyindir keakrabannya dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang menggelar mereka "seperti adik beradik".
Nazri yang merupakan anggota parlimen Padang Rengas menyifatkan pemimpin MCA itu sebagai "gila" kerana ingin menentukan dengan siapa beliau boleh berkawan.
"Beliau macam sudah hilang pemikiran dan gila sehinggakan nak tentukan siapa saya boleh berkawan atau tidak di negara ini.
"Ini negara bebas. Takkan MCA nak tentukan siapa saya boleh dan tidak boleh bermesra," katanya kepada Malaysiakini.
Semalam, Chong (gambar) membangkitkan kemesraan Nazri dan Lim dan berkata internet penuh dengan gambar yang menunjukkan mereka seperti adik beradik.
Beliau berkata tidak pernah melihat Nazri mendakap pemimpin MCA dan tiada pemimpin parti itu yang sanggup melakukan sedemikian dengan "individu sepertinya".
Mempertahankan persahabatannya dengan Lim, Nazri berkata rakyat sebuah negara demokrasi seperti Malaysia lebih suka melihat pemimpin kerajaan berbaik dengan pembangkang berbanding berseteru dalam setiap perkara.
"Rakyat sudah bosan dengan ahli politik yang tak habis-habis bergaduh. Kita buat kerja, kenalah kawan dengan parti lawan.
"Walaupun berbeza politik, kita kena berkawan sebab itu kehendak rakyat," katanya lagi.
Pertelingkahan bermula apabila Nazri mengecam hartawan Robert Kuok sebagai 'pondan' kerana didakwa memberi sumbangan dana kepada DAP.
'Siapa tiada semangat BN?'
Chong membidas kenyataan Nazri itu yang diibaratkannya seperti menghina seluruh masyarakat Cina dan menuntut bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu memohon maaf.
Nazri kemudian membalasnya dengan berkata DAP, bukan MCA, yang mewakili kaum Cina.
Sementara itu, Nazri turut membidas kenyataan Chong yang bersetuju dengan tindakan MCA Padang Rengas yang memutuskan hubungan dengannya.
"Chong menyokong MCA Padang Rengas maka sahlah mereka yang tiada semangat BN dan mula boikot saya pada 2013. Jadi tak perlu nak tuduh saya tidak menunjukkan semangat BN," katanya lagi.