Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Jika Equanimity bukan Jho Low punya, kenapa sembunyi?'
Diterbitkan:  Mar 2, 2018 4:30 PM
Dikemaskini: 12:07 PM

Seorang menteri diminta menasihati Jho Low supaya keluar daripada persembunyian dan menafikan kapal persiaran mewah, Equanimity, bukan milik ahli perniagaan kontroversi terbabit.

Kata Hanipa Maidin, dengan andaian bahawa kenyataan dibuat Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak mengenai kapal itu adalah benar, tidak dapat difahami mengapa Jho Low masih tetap bersembunyi.

Sepatutnya kata anggota parlimen Sepang itu ahli perniagaan terbabit boleh membuat penafian dengan tegas bahawa kapal mewah itu bukan miliknya.

Kenyataan dibuat Salleh itu, kata Hanipa, kelihatan sangat lucu dan menasihati menteri terbabit supaya berpada-pada membuat pembelaan.

"Kenapa YB pula yang sibuk nak jadi jurucakap Jho Low?" katanya hari ini.

Pihak berkuasa Indonesia yang bekerjasama dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menahan kapal persiaran Equanimity di Teluk Benoa, Bali, pada 28 Feb lalu.

Kawasan perarian itu memang dikenali sebagai tempat eksklusif dan menjadi lokasi acara penting dianjurkan kerajaan Indonesia membabitkan pemimpin negara asing.

Kapal itu dikatakan bernilai AS$250 juta (RM978 juta) dan didakwa diperolehi menggunakan dana yang ada kaitan dengan 1MDB.

Pihak berkuasa AS memulakan siasatan berhubung dana 1MDB itu sejak pertengahan 2016. Selain AS beberapa negara asing juga mengambil tindakan ke atas sejumlah individu yang mempunyai kaitan dengan syarikat pelaburan milik Malaysia itu.

Logiknya bukti dikemukakan

Bagaimanapun untuk rekod siasatan juga diadakan di negara ini namun setakat ini tiada mana-mana pihak didakwa atau diambil tindakan.

Hari ini Salleh yang juga bekas ketua menteri Sabah berkata tiada bukti menunjukkan Jho Low - atau nama sebenarnya Low Taek Jho - adalah pemilik Equanimity.

Justeru katanya laporan rampasan kapal itu yang mengaitkannya dengan Jho Low adalah "berita palsu".

"Hakikatnya, sumber dakwaan tersebut terkandung dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) AS yang sudah dihentikan buat sementara sejak Ogos lalu.

"Selain dakwaan yang terkandung dalam saman itu, DOJ tidak menunjukkan sebarang bukti bahawa Jho Low adalah pemilik sebenarnya, atau ia dibeli daripada wang daripada 1MDB.

"Malah DOJ belum membuktikan mana-mana dakwaannya di mahkamah, walaupun sudah dua tahun berlalu sejak sidang media sensasinya pada Julai 2016," katanya.

 


Baca Langkah membela Jho Low kian lucu


Hanipa berkata kenyataan Salleh menunjukkan seolah-olah pihak yang menyita Equanimity itu tidak tahu apa yang mereka lakukan.

Sedangkan katanya Pengarah Jenayah Ekonomi dan Jenayah Khas Indonesia, Agung Setya, menjelaskan rampasan itu dibuat setelah mendapat restu atau kebenaran mahkamah negara itu.

"Apabila mendapat perintah mahkamah, logiknya ada permohonan dibuat terlebih dahulu. Dan logiknya bukti telah dikemukakan termasuk pemilikan dan kaitan kapal itu dengan 1MDB serta saman DOJ.

"Itulah mekanisme proses perundangan mahkamah di seluruh dunia," katanya.

Hanipa yang juga seorang peguam menjelaskan walaupun kes di AS itu belum dibicarakan, ia tidak bermakna individu yang disebut dalam saman berkenaan wajar berdiam diri.

Bertindaklah, guna khidmat peguam dan cabar di mahkamah AS jika dakwaan dalam saman itu tak betul, serta pohon ia dibatalkan.

"Jika saman itu dibatalkan, (barulah) habis cerita 1MDB di AS," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS