Polis Indonesia hari ini menyambung pemeriksaan dan penggeledahan terhadap kapal layar mewah milik ahli perniagaan yang dikaitkan dengan 1MDB, Jho Low.
Ketua Polis Daerah Bali Irjen Petrus Golose berkata operasi itu bagi mendapatkan maklumat berkaitan dakwaan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan aset itu.
Bagaimanapun, katanya lagi, maklumat itu akan diserahkan kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Amerika Syarikat (AS), untuk tindakan lanjut.
"Kemudian kita juga membantu menjaga kapal itu kerana nilai kapal itu amat besar, kita akan bantu proses itu kerana penyiasatan ini melibatkan dua negara,” beliau dilaporkan sebagai berkata.
Kapal bernama Equanimity bernilai AS$250 juta itu antara aset penting yang diburu Jabatan Keadilan (DOJ), AS selepas dikaitkan dengan pengubahan wang haram dalam sistem kewangan negaranya.
Semalam pihak berkuasa Indonesia merampas kapal di Bali. Seramai 34 orang anak kapal berada di situ tetapi tiada kelibat Jho Low.
Laporan itu mengatakan penyiasat dilihat membawa kira-kira sedozen beg bimbit dan beg hitam dari situ, tetapi tidak diketahui apa isinya.
Kapal yang didaftarkan di Kepulauan Cayman dilaporkan dibina khas untuk Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho pada tahun 2014.
Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho melalui jurucakap menyifatkan DOJ "keterlaluan" kerana bertindak di peringkat global tetapi “tidak melihat kembali dakwaan yang bermotifkan politik dan penuh kelemahan”.