Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekali lagi membidas bekas pemimpin Umno yang didakwa tidak mengakui sebagai warga Malaysia, dengan berkata individu itu sebaiknya "ditolak ke laut".

Walaupun tidak menyebut nama secara khusus, jelas beliau merujuk kepada Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata, orang ramai tidak perlu mendengar kata-kata pemimpin itu yang tidak seperti dirinya berpeluang untuk masuk ke makam Nabi Muhammad ketika menunaikan umrah di Madinah, baru-baru ini.

"Orang lain tak mengaku warga Malaysia (tetapi) ada berapa orang (sahaja) yang dapat masuk makam Rasulullah," katanya dalam majlis penyerahan surat tawaran menunaikan haji sumbangan Yayasan 1MDB kepada 1,200 pemimpin masyarakat dan Umno bahagian, di Putrajaya hari ini.

"Ketepikan pemimpin ini. Kita tolak dia (yang tak mengaku sebagai warganegara) ke laut," katanya lagi.

Mukhriz sebelum ini dilaporkan berkata, jika berada di luar negara atau menunaikan Umrah di Mekah, beliau memberitahu yang beliau mengaku sebagai rakyat Brunei kerana malu dengan Malaysia yang menurutnya lebih dikenali dengan perkara buruk di mata dunia.

Setiausaha akhbarnya, Mohd Fisol Jaafar kemudiannya berkata, kata-katanya itu disalah petik dan bekas menteri besar Kedah itu merujuk kepada rakyat Malaysia secara umum.

Selain itu, Mukhriz juga sekali lagi menjelaskan hal itu dengan berkata, beliau sama sekali tidak malu untuk mengaku sebagai orang Malaysia tetapi marah dengan masalah yang melanda negara.

Dalam kritikannya terhadap Mukhriz sebelum ini, Najib dalam satu majlis di Kota Bharu 28 Januari lalu mengingatkan penjawat awam agar lebih patriotik daripada pihak tertentu

"Jangan sampai tak bangga jadi rakyat Malaysia. Kalau tak bangga pi lah orang Kedah kata, pi jauh-jauhlah, tak payah (tinggal) di sini. Dia dah kaya, keluarga dah kaya, abang yang ada kereta mewah (dan) tersenarai antara orang yang terkaya di Malaysia," katanya.

Subsidi tinggi daripada bayaran

Sementara itu, Najib berkata kerajaan Arab Saudi juga bersetuju menambah kuota haji Malaysia berkat hubungan baik dengan negara itu.

Beliau berkata, persetujuan itu dicapai ketika lawatan Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud ke Malaysia - negara Asia Tenggara pertama yang dilawatnya - tahun lalu.

Katanya lagi, Tabung Haji juga setuju untuk membina kompleks haji di Mekah dan Madinah untuk kemudahan warga Malaysia bagi menjamin kos untuk menunaikan ibadah itu tidak meningkat.

"Semua ini tak mungkin dicapai jika kita tiada hubungan baik dengan Arab Saudi," katanya.

Beliau juga berkata kos haji akan dikekalkan pada RM9,980 dengan kerajaan dan Tabung Haji memberi subsidi lebih RM12,470.

"Di mana anda dapat jumpa negara yang mana kos haji lebih rendah daripada subsidi yang diberikan kerajaan," katanya, sambil berkata 1MDB akan meneruskan program penghantaran haji ini.
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS