Selepas PAS, pemimpin PKR pula menafikan terdapat rundingan sulit antara kedua-dua parti itu bagi berdepan pilihan raya umum akan datang.
Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin juga “memperbetulkan” kenyataan Pengarah Komunikasi AMANAH Selangor Jamzuri Ardani bahawa tiada jawatankuasa yang dibentuk untuk rundingan kerusi pilihan raya di peringkat Pakatan Harapan Selangor.
Sebaliknya, kata Zuraida, jawatankuasa yang dipengerusikan oleh pengarah pilihan raya HARAPAN negeri Dr Xavier Jeyakumar telah dilangsungkan empat kali.
“Pakatan Harapan Selangor yang diterajui oleh PKR kini sedang dalam proses rundingan kerusi bagi peringkat Dewan Undangan Negeri untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 yang akan datang,” katanya.
Kenyataan Zuraida itu bagaimanapun dikeluarkan atas kapasitinya sebagai setiausaha HARAPAN negeri.
Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad pada 18 Januari lalu berkata kepemimpinan PAS Selangor tidak pernah berunding dengan kerajaan negeri PKR sejak kerjasama politik antara kedua-dua parti itu dibatalkan.