Kerusi parlimen Marang yang disandang Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikatakan akan dicabar oleh anak saudara isteri presiden PAS itu sendiri dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Pencabar itu adalah Miqdad Zakaria yang merupakan Ketua Parti Amanah Negara (AMANAH) Marang, seperti didedahkan timbalannya Suhaimi Sulaiman.
"Pertandingan di Parlimen Marang, kita tetapkan Miqdad sebagai calon untuk berdepan dengan siapa sahaja calon PAS di Parlimen Marang. InsyaAllah kita tengok setakat ini kita (AMANAH) boleh," kata Suhaimi seperti dipetik Sinar Harian.
Bagaimanapun, Pengerusi AMANAH Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang dihubungi media berkenaan menafikan perkara itu dan berkata pihaknya belum memutuskan senarai muktamad calon.
"Kita belum (putuskan) apa-apa lagi... keputusan kita belum buat lagi. Tunggulah seminggu dua lagi. Setakat ni sudah 70 peratus (siap menamakan calon)," katanya.
Bukan kerusi selamat Abdul Hadi
Sementara itu, ketika ditemui media Miqdad menegaskan penyertaannya ke dalam parti itu bukan untuk bertanding semata-mata tapi untuk mengubah keadaan politik di Marang.
Menurut Miqdad lagi, dia merasakan masih terlalu awal memikul tanggungjawab sebagai calon lebih-lebih lagi jika diminta untuk berhadapan Abdul Hadi.
Miqdad yang meninggalkan PAS untuk menyertai AMANAH sebelum ini pernah menyuarakan kesediaannya jika dipilih untuk bertanding dalam PRU ke-14 akan datang.
Untuk rekod, parlimen Marang merupakan parlimen kegemaran Abdul Hadi yang menyaksikan beliau bertanding di kerusi itu sejak PRU ketujuh (1986).
Hadi pernah kalah di kerusi itu dua kali kepada calon BN Datuk Abdul Rahman Bakar pada 1986 dan 2004 sebelum menang kembali dalam PRU 2008 dan 2013 apabila PAS bergabung dalam Pakatan Rakyat.
Pada PRU ke-13 Abdul Hadi mengekalkan kerusi itu setelah menewaskan calon BN Datuk Yahya Khatib dengan majoriti 5,124 undi. Hadi mendapat 42,984 undi manakala Yahya memperolehi 37,860 undi.
Penganalisis berpendapat Marang bukanlah kerusi yang benar-benar selamat bagi Abdul Hadi selepas perpecahan dalaman PAS yang menyaksikan penubuhan AMANAH.
Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang yang turut disandang Abdul Hadi, Suhaimi berkata, Pakatan Harapan (HARAPAN) Terengganu belum ada keputusan sama ada akan meletakkan calon AMANAH atau BERSATU.
Suhaimi menambah, HARAPAN Terengganu bagaimanapun bersetuju meletakkan calon PKR di DUN Alur Limbat, calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di DUN Pengkalan Berangan dan calaon AMANAH di DUN Bukit Payong.