Operasi Lalang yang menyaksikan lebih seratus ahli politik dan aktivis ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1987 tercetus kerana ketegangan antara Pemuda Umno dan Pemuda MCA, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Itulah sebab sebenar penahanan," katanya yang ketika itu menjadi menteri pendidikan dan naib presiden Umno.
Anwar berkata demikian ketika memberi keterangan dalam sesi pendengaran saman fitnah Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah terhadap Ketua Umno bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata, ketegangan antara Pemuda Umno dan Pemuda MCA membawa kepada penahanan sejumlah 106 ahli politik dan aktivis, termasuk suami Maria iaitu allayarham Yunos Lebai Ali (gambar).
Dalam keterangannya, Anwar mendakwa beliau telah membuat rayuan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri dan menteri dalam negeri ketika itu, agar melepaskan mereka yang tidak terlibat dengan perbalahan dua sayap pemuda itu.
Beliau berkata bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin turut ada ketika beliau bertemu Mahathir di kediaman rasminya, Sri Perdana.
"Namun, Mahathir berkata serahkan kepada polis dan Cawangan Khas (special branch) untuk menangani perkara itu," katanya lagi.
Laporan menyatakan timbulnya isu berkaitan kaum dan agama pada waktu itu, termasuk keputusan Kementerian Pendidikan untuk melantik sendiri seratus guru besar dan guru penolong kanan untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
Ia menyebabkan pemimpin masyarakat Cina mengadakan perhimpunan yang dihadiri 2,000 orang di Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong). Turut hadir adalah presiden MCA ketika itu, Tan Sri Lee Kim Sai dan pemimpin DAP Lim Kit Siang.
Umno kemudiannya turut membuat perhimpunan di Kampung Baru.
Peguam Jamal, Mohd Nasser Yusof, bertanya kepada Anwar berhubung sebab di sebalik penahanan suami Maria.
Maria memfailkan saman terhadap Jamal ekoran dakwaannya yang badan pemantau pilihan raya itu mempunyai kaitan dengan pengganas Islamic State.
Anwar turut ditanya tentang pengalamannya sebagai pemimpin pelajar di Universiti Malaya, bersama-sama Yunos dan aktivis Hishamuddin Rais.
PLO bukan pengganas
Anwar berkata mereka menyertai pelbagai demonstrasi termasuk ketika membantah perang di Vietnam, penjajahan Palestin dan sokongan Amerika Syarikat terhadap Israel, serta demonstrasi Baling pada 1974.
Katanya, ketika demonstrasi di luar kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, para pemimpin pelajar berdialog dengan menteri dalam negeri ketika itu, Tun Ghazali Shafie.
Tidak seperti sekarang, pemimpin politik ketika itu sentiasa bersedia untuk bertemu pelajar, katanya.
Anwar juga menafikan cadangan Nasser yang mengatakan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) adalah organisasi pengganas.
"Ketika saya menjadi menteri pada 1983, saya turut mengundang pemimpin PLO ke UiTM," katanya.
Suami Maria pernah menjadi pengawal peribadi pemimpin PLO, Yasser Arafat.
Maria diwakili peguam N Surendran dan Latheefa Koya. Perbicaraan bersambung pada 5 Mac ini.