Walaupun tidak menyatakan dengan jelas, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata soal sama ada beliau perlu dinamakan sebagai calon perdana menteri "sementara" bagi Pakatan Harapan (HARAPAN) atau tidak bukanlah perkara besar, memandangkan usianya yang sudah lanjut.
"Tahun ini usia saya 92 tahun. Saya sudah nak masuk 93 tahun. (Dan) Jelas saya tidak akan menjadi perdana menteri atau apa sahaja sehingga berusia 100 tahun," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Ditanya lagi sama ada HARAPAN perlu menggunakan istilah "perdana menteri sementara", beliau berkata: Terpulang kepada mereka (parti komponen). Kami adalah pakatan bebas, kami boleh menggunakan apa sahaja istilah yang kami mahu."
Semalam, Malaysiakini melaporkan PKR lebih cenderung untuk menggunakan istilah "perdana menteri sementara" manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Amanah Negara (AMANAH) dan DAP berpandangan istilah itu tidak akan memberi kesan seperti yang mereka harapkan.
Menurut sumber, istilah itu tidak mendatangkan keyakinan dan menimbulkan tanggapan HARAPAN tidak mampu untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang stabil.
Malaysiakini juga melaporkan yang HARAPAN dijangka mengumumkan Mahathir sebagai calon perdana menteri dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri ketika konvensyen gabungan itu Ahad ini.
Soal istilah itu dijangka akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN esok. Pengumuman tersebut akan dibatalkan jika tiada kata sepakat dapat dicapai antara semua parti komponen.
Mengulas laporan Malaysiakini itu, Mahathir berkata beliau akan akur dengan keputusan keempat-empat parti.
"Saya akan ikut keputusan kesemua empat parti," katanya.
Berkenaan pendirian PKR dalam soal itu pula, Mahathir berkata beliau tidak tahu kerana parti tersebut "tidak memaklumkan apa-apa".
[Berita lanjut menyusul]