BAJET 2018 | Dengan memansuhkan empat tol milik Plus Malaysia Bhd (PLUS), kerajaan mungkin perlu memanjangkan tempoh konsesi tol lain yang dikendalikan syarikat itu sebagai pampasan, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
"Kami perlu menstrukturkan sebahagian tol sedia ada.
"Kami tidak membayar pampasan tunai, kami cuba untuk memanjangkan tempoh (konsesi) tol-tol sedia ada yang masih dikendalikan (pemegang konsesi)," katanya kepada pemberita di Dewan Rakyat, selepas pembentangan Bajet 2018 hari ini.
Ketika membentangkan Bajet 2018 tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan empat tol lebuh raya di Selangor, Kedah dan Johor akan dimansuhkan bermula tahun depan.
Tol tersebut adalah Batu Tiga, Shah Alam dan Sungai Rasau di sempadan Shah Alam - Kelang, Bukit Kayu Hitam di Kedah dan Lingkaran Penyuraian Trafik Johor Bahru Timur (EDL).
PLUS dilaporkan berminat untuk mengambil alih EDL tahun lalu.
Namun, Johari tidak memaklumkan tol-tol yang akan dilanjutkan tempoh konsesinya.
Ketika ditanya berapa lama tempoh tambahan bagi tol-tol tersebut, Johari berkata: "Kita akan tentukan kemudian."
UEM Group Berhad yang dimiliki Khazanah Nasional Bhd memiliki 51 peratus pegangan dalam PLUS, manakala 49 peratus lagi dimiliki Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.