Sidang pendengaran awam Suruhanjaya Hak Asasi manusia (Suhakam) berhubung kehilangan aktivis dan pekerja sosial hari ini terpaksa dihentikan selama 15 minit, selepas salah seorang saksi gagal menahan kesedihan dan menangis.
Isteri Raymond Koh, Susanna Liew mula teresak-esak ketika menjawab soalan berhubung reaksinya selepas Koh menerima ugutan bunuh pada 2011.
"Saya masih ingat, pagi itu saya menangis dan menelefon kawan, kerana saya merasakan keadaan menjadi semakin bahaya. Malah saya menimbang untuk berhijrah ke Australia, tetapi suami saya cintakan negara ini. Beliau mahu kekal di Malaysia.
"Maka kami tinggalkan rumah buat sementara, dan tinggal di tempat lain selama dua bulan. Seorang kawan benarkan kami tinggal di rumahnya," katanya sambil menangis.
Sidang kemudian ditangguhkan selama 15 minit hingga pukul 11.15 pagi, dan Liew meneruskan keterangannya.
Pada 23 Ogos 2011, rumah mereka menerima bungkusan berisi dua biji peluru dan surat yang mengandungi amaran keras.
Ia berikutan serbuan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke program Komuniti Harapan, NGO pimpinan Koh, tiga minggu sebelumnya kerana didakwa Koh menyebarkan agama Kristian kepada orang Islam.
Sementara itu, Liew juga memberitahu polis telah mengarahkan pihak keluarga agar tidak tidak bercakap kepada media dan menghadiri acara nyalaan lilin.
Beliau berkata, polis memberitahunya tentang larangan itu ketika pertemuan dengan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat pada 6 Mac lalu, dan ditegaskan sekali lagi oleh ketua polis negara ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam pertemuan pada 23 Mac.
Katanya, Khalid memberitahu yang "ia menyukarkan keadaan...penculik mungkin menjadi senyap dan sukar untuk mencari mereka."
Koh diculik di Petaling Jaya pada 13 Februari lalu.
[Berita lanjut menyusul]