Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Kecoh lagi di SUK: Polis siasat Jamal
Diterbitkan:  Oct 5, 2017 5:01 PM
Dikemaskini: 10:11 AM

Polis hari ini memulakan siasatan terhadap tindakan Ketua Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang mencetus kekecohan dengan memecahkan lebih 100 botol arak di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam.

Akhbar TheSun memetik Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat sebagai berkata pihak polis akan menyiasat kes itu di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan kerana berhimpun secara haram.

"Ya, kami terima laporan mengenai kejadian di pejabat kerajaan negeri Selangor,” katanya ketika dihubungi akhbar itu.

Jamal dan kira-kira 20 orang penyokongnya hadir sambil membawa beberapa peti minuman keras dan tukul besi pada jam 10.15 pagi. Tindakan itu menurutnya sebagai membantah sebarang penganjuran pesta arak di Selangor.

Pemimpin Umno itu kemudian memberi amaran kepada pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya tidak mengambil mudah terhadap penganjuran pesta itu selain melarangnya diadakan di Selangor.

Jamal kemudian menggunakan sebuah tukul besi lalu memecahkan botol arak yang disusun di hadapan pagar bangun pentadbiran kerajaan negeri Selangor itu sambil aksinya dirakamkan oleh wartawan dan jurugambar.

Beliau seterusnya berjalan menuju ke kenderaannya dengan meninggalkan tempat kejadian tanpa berkata apa-apa.

Seorang pegawal keselamatan kemudian mengejar Jamal dan meminta beliau dan penyokongnya membersihkan botol-botol yang dipecahkannya itu.

Gimik Jamal yang disokong pemimpin Umno itu bukan sesuatu yang baru. Pada 21 Disember tahun lalu, beliau hanya bertuala dan hadir ke bangunan SUK untuk tumpang mandi di pejabat menteri besar .

Beliau datang membawa gayung, berus gigi dan sabun sebagai protes terhadap kerajaan negeri yang didakwanya gagal mengurus masalah air di negeri itu.

Awal tahun ini, pada 25 Januari lalu, membawa sepuluh katil bujang ke bangunan pejabat SUK dengan tilam yang disaluti cadar tertera dengan perkataan 'DAP - Dapat Aiskrim Percuma' manakala bantal yang turut dibekalkan mempunyai perkataan 'Rumah Urut Selangorku'.

Adalah dipercayai ia sebagai sindiran kepada projek rumah mampu milik kerajaan negeri Selangor "Rumah Selangorku".

Ketika itu, beliau datang dengan menunggang sebuah motorsikal Harley Davidson sambil membawa sebuah tong berisisi ais krim.

Beliau juga memakai kemeja T putih yang tertera dengan perkataan 'DAP - Dapat Aiskrim Percuma' dan 'Rumah Urut Selangorku'.

Kurang sebulan kemudian, iaitu pada 14 Februari lalu, Ketua Umno bahagian Sungai Besar itu, mencetuskan ketegangan dengan membawa 15 van jenazah, keranda dan berpakaian seperti penggali kubur di depan pejabat SUK.

Sambil mempertikaikan beberapa program negeri, termasuk skim khairat kematian, pemimpin Baju Merah itu bahkan membawa cangkul dan berkata dalam keranda dibawanya terdapat Azmin.

Tindakan itu mengundang kemurkaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak berkenan kenderaan jenazah disalah gunakan dengan disewa untuk membuat demonstrasi.

Menerusi satu kenyataan, baginda bertitah kenderaan berkenaan adalah untuk membawa urusan jenazah sahaja.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS