Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Surat Rafizi jawab lima soalan pembantu Rosmah
Diterbitkan:  Sep 21, 2017 6:07 PM
Dikemaskini: 10:28 AM

ULASAN l Pegawai kepada isteri Perdana Menteri yang bernama Datuk Seri Rizal Mansor semalam menimbulkan persoalan mengenai hal ehwal kewangan Invoke Malaysia.

Beliau bertanya lima soalan:

1. Butiran lengkap mengenai derma orang ramai sebanyak RM857,000. Siapa yang menderma? Waktu bila? Di mana?

2. Butiran kutipan langganan perkhidmatan sukarelawan sebanyak RM1.063 juta. Siapakah sukarelawan ini, berapa ramai yang melanggan perkhidmatan ini?

3. Bukti bahawa beliau telah melaburkan duit ASB dan Tabung Haji miliknya dalam Invoke sebagai modal. Tidak pernah ditunjukkan sebarang bukti pengeluaran dan kemasukan wang.

4. Sewa pejabat Invoke berbelas buah di seluruh negara. Benarkah? Bukankah pejabat-pejabat Invoke banyak beroperasi di pejabat cabang PKR?

5. Bayaran gaji 80 orang kakitangan sepenuh masa Invoke (purata gaji mereka adalah RM1100 sebulan). Apakah bukti mereka ini menerima gaji dari Invoke seperti pendaftaran/pemotongan EPF dan Socso? Tidak pernah pun ditunjukkan oleh Rafizi sebagaimana selama ini beliau sering mengaku beliau seorang yang telus.

Melanggar Peraturan Perkhidmatan Awam

Semakan dengan Jabatan Perdana Menteri dan disahkan oleh laporan-laporan media (rujuk http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/selangor-kl/rizal-mansor-tidak-perlu-jadi-jaguh-1.709984) menunjukkan seorang pegawai kerajaan yang bernama Datuk Seri Rizal Mansor ini adalah berpangkat Ketua Penolong Pengarah (KPP), Bahagian Khas, Pejabat Perdana Menteri. Gred beliau boleh disahkan dari senarai rasmi perjawatan kerajaan bagi Bahagian Khas, Pejabat Perdana Menteri (mukasurat B6-206) seperti berikut:

Sebagai pegawai kanan kerajaan bergred M48 iaitu di dalam kumpulan pengurusan, Datuk Seri Rizal Mansor adalah tertakluk kepada Peraturan 21 (I), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, yang menetapkan bahawa pegawai awam dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan pegawai Kumpulan Pengurusandan Profesional adalah dilarang daripada mengambil bahagian dalam aktiviti politik atau memakai mana-mana lambang sesuatu parti politik.

(Rujuk Pekeliling yang dikeluarkan oleh Tan Sri Ismail Adam, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bertarikh 6 April 2009 yang disertakan bersama mengenai larangan ini)

Rizal secara terbuka telah berkempen dan menyertai kegiatan-kegiatan politik beliau melalui tindakan-tindakan berikut:

i. Berkempen secara rasmi bagi pihak Barisan Nasional di dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar 2016.

ii. Merasmikan mesyuarat agung tahunan Pemuda Umno Kelana Jaya tahun 2017 seperti dilaporkan https://www.malaysiakini.com/news/389560.

iii. Mengeluarkan kenyataan-kenyataan politik dari semasa ke semasa termasuklah kenyataan terbaru semalam.

Oleh yang demikian, saya akan berbincang dengan rakan-rakan peguam untuk mengambil langkah membuat aduan rasmi kepada Jabatan Perkhidmatan Awam atas pelanggaran terang-terangan kepada satu peraturan utama penjawat awam yang sering digunakan untuk menghukum penjawat awam yang simpati kepada pembangkang selama ini.

Saya akan membuat pelbagai tindakan susulan termasuk melalui Parlimen untuk memastikan tindakan tatatertib diambil ke atas Rizal yang memperlekehkan peraturan yang mengikat kesemua penjawat awam yang lain. Jika beliau dibiarkan berkelakuan begini, ia menimbulkan keadaan tidak adil jika ada penjawat awam yang lain juga bergiat aktif di dalam politik tetapi diambil tindakan.

Lima soalan mengenai sumber kewangan Invoke

Walaupun lima soalan yang ditanyakan beliau semalam adalah satu serangan politik dengan tujuan menunjukkan saya mencuri wang melalui satu pertubuhan sukarelawan pilihanraya iaitu Invoke yang saya tubuhkan, saya menghormati hak setiap rakyat Malaysia untuk mendapatkan maklumat mengenai tata kelola kewangan Invoke.

Sebahagian besar dari sumber kewangan Invoke diperolehi dari orang ramai melalui pelbagai perkhidmatan dan barangan yang diusahakan Invoke, seperti:

i. Jualan tiket ke majlis-majlis pendanaan (“fundraising dinner) yang dibuat sepanjang masa di seluruh negara. Ada majlis yang besar melibatkan ribuan orang, ada majlis yang sederhana melibatkan ratusan, ada juga majlis yang kecil melibatkan hanya 10 orang. Perolehan (“revenue”) dari jualan tiket-tiket ditunjukkan di dalam akaun Invoke sebagai “Revenue – Events”

ii. Jualan barangan kempen seperti t-shirt, beg, buku, butang, pelekat kereta dan lain-lain yang ditunjukkan sebagai “Revenue – Merchandise” di dalam akaun Invoke

iii. Jualan perkhidmatan atas talian yang membolehkan orang ramai yang melanggannya berhak untuk mendapat majalah mingguan Invoke mengenai kempen sukarelawan di seluruh negara; serta menggunakan sistem pengurusan sukarelawan Invoke atas talian (di capaian https://volunteer.Invokemalaysia.org/) seperti petikan skrin di bawah. Sistem pengurusan sukarelawan Invoke adalah perisian yang dibangunkan sendiri oleh Invoke berkonsepkan media sosial yang memudahkan orang awam mengikuti dan menyertai kempen sukarelawan di seluruh negara. Jualan perkhidmatan atas talian ini juga dikenali sebagai “biayaramai” atau “crowdfunding” dan ditunjukkan sebagai “Revenue – Subscription” di dalam akaun Invoke

iv. Jualan penerbitan berkala iaitu “Political Intelligence” yang diterbitkan 2 minggu sekali kepada pelanggan yang ditunjukkan di dalam akaun sebagai “Revenue – Subscription (CPI)”

Oleh yang demikian, saya bentangkan maklumat terperinci untuk menjawab lima soalan yang diajukan oleh Rizal.

Soalan 1:

Butiran lengkap mengenai derma orang ramai sebanyak RM857,000. Siapa yang menderma? Waktu bila? Di mana?

Saya kurang pasti apa yang dimaksudkan sebagai derma orang ramai dan angka mana yang dirujuk sebagai RM857,000. Saya beranggapan beliau merujuk kepada jumlah yang diperolehi melalui inisiatif “biayaramai” atau “crowdfunding” yang saya jalankan melalui Invoke untuk membayar jumlah RM300,000 yang dituntut oleh NFC dan Datuk Seri Salleh Ismail.

Saya sudah terbitkan sebelum ini analisa penderma mengikut jumlah yang disumbangkan apabila saya mengumumkan jumlah kutipan pada 3 Ogos 2017 (baca http://rafiziramli.com/2017/08/biayaramai-nfc-jangan-putus-harapan/)

Saya ulang analisis penderma yang saya terbitkan sebelum ini:

• Dalam tempoh 10 hari, seramai 7,435 rakyat Malaysia menjawab rayuan saya dan secara bersama menyumbang sejumlah RM1,585,014.49. Jumlah ini adalah 5 kali jumlah yang diperlukan untuk membayar NFC.

• Mereka yang menyumbang datangnya dari pelbagai latar belakang. Dari 5,135 penyumbang yang maklumat mereka diketahui, seramai 1,575 orang adalah Melayu, 2,903 adalah Cina, 348 adalah India, 40 Bumiputra Sabah dan 91 Bumiputra Sarawak. Baki 2,300 orang lagi menyumbang melalui mesin deposit tunai yang tidak memberi maklumat mereka.

• 84% dari keseluruhan sumbangan adalah dalam bentuk sumbangan kecil, paling sedikit RM10 dan paling tinggi pun RM200 setiap sumbangan.

Walau bagaimana pun, saya tahu ada di kalangan penyokong Umno dan dalam PKR sendiri yang tidak yakin dengan perincian tersebut. Mereka bersangka buruk kononnya saya menipu dan hanya mendapat sumbangan ratusan ribu ringgit dari beberapa orang taukeh sahaja tetapi diumumkan sebagai derma ribuan rakyat biasa. Tujuannya ialah untuk memfitnah saya kononnya saya juga bergelumang dengan rasuah dan penipuan.

Oleh itu, saya dengan ini menyertakan cetakan penuh lejer Invoke bagi tempoh 3 hari sahaja iaitu 24 Julai hingga 26 Julai 2017 yang sudah pun berjumlah 194 muka surat untuk diteliti sendiri oleh rakyat Malaysia. Untuk mencetak keseluruhan rekod transaksi setiap satu sen yang keluar masuk di antara 24 Julai hingga 3 Ogos, laporan itu akan mencecah tiga ribu muka surat dan laptop saya telah “crash” beberapa kali setakat ini.

Download https://drive.google.com/open?id=0B2GRLI8QVQQgdkpid2NnLVhpLXc

Download https://drive.google.com/open?id=0B2GRLI8QVQQgT0dyU2c1NHNOdjA

Tanpa rekod 10 hari itu pun, saya yakin rakyat Malaysia boleh melihat sendiri bahawa jumlah yang diterima datangnya dari ribuan rakyat Malaysia yang menyumbang dalam jumlah yang kecil.

Rizal boleh meneliti sendiri bila, siapa dan jumlah yang disumbangkan oleh rakyat Malaysia. Saya yakin rakyat Malaysia yang nama mereka disenaraikan tidak berasa malu atau mahu bersembunyi dengan sumbangan mereka, sebab itu saya ambil keputusan untuk menyiarkan rekod transaksi untuk membuktikan dakwaan dan serangan terhadap saya dan Invoke selama ini adalah tidak benar.

Soalan 2:

Butiran kutipan langganan perkhidmatan sukarelawan sebanyak RM1.063 juta. Siapakah sukarelawan ini, berapa ramai yang melanggan perkhidmatan ini?

Saya telah terangkan di atas mengenai jualan perkhidmatan atas talian untuk memadankan sukarelawan dengan maklumat, latihan dan aktiviti kempen yang mereka boleh sertai.

Setakat hari ini sejak beroperasi setahun lalu, jumlah perolehan mengikut kategori adalah: Jualan tiket majlis pendanaan – RM929,280.26, Jualan barangan – RM540,802.18, Jualan perkhidmatan padanan sukarelawan – RM1,479,394.63 dan Jualan langganan makalah – RM16,285.12.

Jumlah perolehan adalah RM2,968,902.19 sehingga hari ini.

Download https://drive.google.com/open?id=0B2GRLI8QVQQga1lfcGJPenpzQnc

Untuk mendapat gambaran berapa ramai yang telah melanggan, saya sertakan rekod transaksi jualan perkhidmatan atas talian padanan sukarelawan bagi bulan Mei 2017 berjumlah RM180,650.61 yang mengambil 15 mukasurat. Jumlah yang disumbang bagi setiap sukarelawan adalah berbeza dan telah pun ditolak GST (memandangkan Invoke terpaksa mengutip GST untuk dibayar kepada kerajaan bagi setiap langganan).

Download https://drive.google.com/open?id=0B2GRLI8QVQQgWEtvZF9EbjRRa00

Oleh itu, saya yakin rakyat keseluruhannya boleh menilai bahawa Invoke didokong oleh ribuan rakyat Malaysia yang menyumbang dengan menjadi sukarelawan dan melanggani perkhidmatan atas talian padanan sukarelawan yang disediakan Invoke.

Soalan 3:

Bukti bahawa beliau telah melaburkan duit ASB dan Tabung Haji miliknya edalam Invoke sebagai modal. Tidak pernah ditunjukkan sebarang bukti pengeluaran dan kemasukan wang.

Saya sertakan salinan buku-buku akaun Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputra yang dikemaskini hari ini untuk menunjukkan jumlah yang telah saya pindahkan untuk menjadi modal Invoke.

Untuk rekod, saya telah mengeluarkan RM530,000 dari simpanan Tabung Haji iaitu RM100,000 pada 1 April 2016, RM100,000 pada 20 Jun 2016 dan RM330,000 pada 8 September 2016. Kesemua ini dipindahkan ke akaun simpanan saya di CIMB dan kemudiannya dipindahkan ke akaun Invoke dari semasa ke semasa mengikut keperluan, seperti rekod yang ditunjukkan dari cetakan lejer di bawah yang saya sertakan.

Untuk rekod, saya telah mengeluarkan RM100,000 pada 24 Februari 2017 dari simpanan ASB yang dipindah masuk ke akaun simpanan CIMB saya. Jumlah ini kemudiannya dipindahkan ke akaun Invoke dari semasa ke semasa mengikut keperluan, seperti rekod yang ditunjukkan dari cetakan lejer di bawah yang saya sertakan.

Bukti bahawa jumlah ini dipindahkan ke akaun bank Invoke ditunjukkan di dalam cetakan rekod transaksi seperti lejer yang saya sertakan.

Download https://drive.google.com/open?id=0B2GRLI8QVQQgNkF2dktMMVVpYmM

Secara keseluruhannya, setakat ini saya telah memindahkan RM755,500 sebagai modal Invoke. Dari jumlah tersebut, RM255,601 telah digunakan sebagai langganan saham-saham Invoke. Baki sebanyak RM499,899 masih lagi kekal sebagai dana yang didahulukan oleh saya kepada Invoke.

Jumlah RM755,500 yang saya pindahkan adalah dari RM630,000 pengeluaran simpanan Tabung Haji dan ASB (yang saya tunjukkan di atas) dan RM100,000 yang saya pinjam dari seorang rakan untuk membayar gaji kakitangan pada masa jualan tidak mencukupi untuk membayar gaji kakitangan di awal tahun 2017 dahulu. Bakinya sebanyak RM25,500 adalah dari simpanan gaji bulanan saya dan bayaran-bayaran bil Invoke yang saya dahulukan menggunakan kredit kad sejak setahun lalu.

Soalan 4:

Sewa pejabat Invoke berbelas buah di seluruh negara. Benarkah? Bukankah pejabat-pejabat Invoke banyak beroperasi di pejabat cabang PKR?

Saya sertakan senarai lengkap semua pejabat Invoke di seluruh negara, alamat dan jumlah sewa bulanan yang ditanggung oleh Invoke. Maklumat sulit seperti tuan punya dan akaun tuan punya telah dihitamkan untuk menghormati kerahsiaan perjanjian sewa beli.

Jumlah sewa bulanan semua pejabat Invoke di luar Kuala Lumpur adalah RM12,146 sebulan dan jumlah sewa di Kuala Lumpur untuk ibu pejabat dan dua tingkat serba guna (studio, dewan dan Call Center) adalah RM11,300 sebulan.

Soalan 5:

Bayaran gaji 80 orang kakitangan sepenuh masa Invoke (purata gaji mereka adalah RM1100 sebulan). Apakah bukti mereka ini menerima gaji dari Invoke seperti pendaftaran/pemotongan EPF dan Socso? Tidak pernah pun ditunjukkan oleh Rafizi sebagaimana selama ini beliau sering mengaku beliau seorang yang telus.

Kakitangan Invoke adalah berjumlah 88 orang setakat September 2017. Mereka tidak menyertai Invoke sekaligus, sebaliknya jumlah kakitangan bertambah dari semasa ke semasa seperti yang ditunjukkan di dalam jadual rumusan di bawah (rujuk jadual ringkasan menunjukkan jumlah kakitangan mengikut bulan dan pecahan kategori gaji mereka):

Sebahagian besar dari kakitangan Invoke meletakkan jawatan dari kerjaya masing-masing untuk memberi khidmat di antara satu hingga dua tahun membantu menumbangkan Barisan Nasional. Oleh itu, gaji mereka adalah dalam lingkungan antara RM1,500 hingga RM3,000 sebulan. Jumlah kakitangan yang gajinya melebihi RM3,000 sebulan tidak lebih dari 20 orang pada sesuatu masa dan gaji tertinggi adalah RM4,200 sebulan.

Download https://drive.google.com/open?id=0B2GRLI8QVQQgS3VOWjZqYmp2bE0

Kakitangan Invoke menandatangani kontrak perjawatan dengan sebuah syarikat yang bernama KEIP Resources Sdn Bhd.

KEIP Resources Sdn Bhd pula menandatangani satu perjanjian membekalkan sumber manusia mengikut keperluan Invoke dari semasa ke semasa. Kontrak perjawatan kakitangan dimuktamadkan begini dengan mengambil kira perkara-perkara bersabit undang-undang buruh dan perkara-perkara lain.

Oleh itu, semua caruman KWSP dan PERKESO kakitangan Invoke dibayar di bawah nama KEIP Resources Sdn Bhd.

Saya sertakan slip bayaran caruman KWSP dan PERKESO untuk kakitangan Invoke sebagai bukti semua caruman telah dibayar mengikut undang-undang.

  • PERKESO September 2017
  • PERKESO Ogos 2017
  • KWSP Ogos 2017
  • Pecahan caruman mengikut kakitangan yang difailkan kepada KWSP

Saya telah menjawab secara terperinci setiap soalan yang ditanyakan. Saya lakukan ini dengan hati yang terbuka kerana saya yakin jika kita tidak menyeleweng, jika kita tidak pecah amanah, kita tidak perlu takut kepada sesiapa untuk berlaku telus.

Oleh kerana saya telah berlaku setelus-telusnya dengan setiap perkara yang dibangkitkan, maka wajarlah Rizal menasihati Datin Seri Rosmah dan Datuk Seri Najib Razak untuk turut berlaku telus seperti saya dalam urusan kewangan dan kerja-kerja politik saya.

Saya akan mengusulkan soalan-soalan balas kepada Najib dan Rosmah dalam masa terdekat sebagai membalas inisiatif Rizal yang menuntut ketelusan dari saya dan hal ehwal kewangan Invoke.


RAFIZI RAMLI adalah penyelaras Invoke dan juga anggota parlimen Pandan merangkap naib presiden PKR.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan organisasinya serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS