Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos tiba di ibu pejabat polis daerah (IPD) Ampang Jaya untuk soal siasat hari ini, dengan membawa sebatang tukul besar.
Soal siasat berhubung tindakannya memecahkan meja menggunakan tukul besar sama ketika sidang media berhubung isu judi di Selangor, 5 september lalu.
"Beberapa individu buat laporan terhadap saya dan polis telah buka kertas siasatan. Polis juga datang ke pejabat saya semalam untuk mengambil gambar.
"Sebelum datang (ke IPD), polis memaklumkan saya untuk membawa bukti iaitu tukul," katanya ketika dihubungi.
Jamal bersama lapan lagi individu disoal siasat selama hampir dua jam berhubung sidang media itu.
Baginya, tindakan memecahkan meja itu adalah "aksi simbolik" untuk menunjukkan beliau serius menggsa kerajaan Selangor membekukan lesen yang diberikan kepada pusat judi di negeri itu.
Beliau dilaporkan mengancam untuk bertindak di luar "batas undang-undang" jika pihak berkuasa tempatan (PBT) gagal bertindak terhadap pusat judi.
Walaupun disiasat polis, Jamal menegaskan aksi tersebut sebagai wajar.
"Sebagai pemimpin masyarakat, NGO dan politik, saya mesti bertindak apabila menerima aduan daripada masyarakat.
"Ada terlalu banyak kedai judi yang berdekatan dengan rumah ibadat, sekolah dan taman perumahan. Ini yang diadukan kepada saya," katanya kepada Malaysiakini.
Pada Februari lalu, Jamal ditangkap dan direman lima hari atas dakwaan samun berkumpulan, selepas mengetuai serbuan ke premis yang didakwanya menjadi sarang perjudian di Taman Kosas, Ampang.
Beliau sebelum ini juga diberi amaran oleh pihak berkuasa dan polis agar tidak meletakkan undang-undang ke tangan sendiri.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat juga berkata, premis yang didakwa sebagai sarang judi itu dilesenkan sebagai pusat hiburan keluarga, dan mendapat permit daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).