Sebagai proaktif membanteras kegiatan amalan khurafat di Pulau Besar, kerajaan negeri Melaka akan menubuhkan sebuah unit penguatkuasaan secara tetap di pulau tersebut.
Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata penubuhan unit khas yang akan bermastautin di Pulau Besar itu amat penting agar pihak berkuasa akan dapat mengambil tindakan tegas secara konsisten terhadap mereka yang masih degil melakukan amalan khurafat yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.
"Tindakan memang ada sebelum ini, tetapi apabila tidak adanya satu unit penguatkuasaan yang menetap di sana, perkara sama akan terus berulang. Kita perlukan satu unit yang memantau serta boleh mengambil tindakan sewajarnya secara terus.
"Dalam masa terdekat ini juga saya sendiri akan meninjau kawasan Pulau Besar dan mahu melihat tindakan tegas diambil terhadap mereka yang masih meneruskan amalan khurafat di kawasan itu," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di pejabatnya di Seri Negeri di Melaka hari ini.
Baru-baru ini, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menyatakan mereka sentiasa bersikap tegas dalam memastikan tindakan pihak-pihak tertentu menjalankan ajaran khurafat di Pulau Besar dapat ditangani.
- Bernama