Paling Popular
Terkini

Pemergian Tan Sri Adenan Satem kelmarin merupakan satu tamparan yang tidak dijangkakan terhadap Sarawak, yang membuat ramai tertanya-tanya bagaimanakah keadaan dan komponen BN tanpanya.

Ruang kosong terbesar yang ditinggalkan ekoran pemergiannya itu nampaknya ialah kepimpinan yang kuat.

"Kita tidak pasti siapa yang boleh menggantikan beliau," kata pemerhati politik, Faisal Hazis dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UK) kepada Malaysiakini.

Malah, katanya, beliau tidak nampak sesiapa yang memiliki aura atau sifat sebagai seorang pemimpin yang kuat.

Adenan dilantik sebagai ketua menteri pada tahun 2014, dan sejak itu telah memulakan usaha untuk mendapatkan beberapa bentuk autonomi pentadbiran daripada kerajaan persekutuan.

Beliau juga sering membuat kenyataan dan dasar-dasar yang disambut baik oleh rakyat Sarawak, tetapi bertentangan dengan pendirian rasmi di Putrajaya.

Selepas pemergiannya itu, keberanian beliau itu dikaitkan dengan hakikat bahawa beliau sedar bahawa beliau hanya mempunyai sedikit masa yang tinggal.

Menurut Faisal, Adenan sedar bahawa beliau mungkin tidak lama menjadi ketua menteri - seperti yang telah terbukti - maka beliau mahu meninggalkan legasi yang lama.

Adenan juga telah berjaya menyatukan BN Sarawak yang berpecah, terutama semasa pilihan raya negeri tahun lepas, yang menyaksinya gabungan itu mencapai kejayaan besar.

Walaupun kepimpinan beliau sudah tiada lagi, namun nampaknya BN Sarawak dan sesiapa saja yang bakal menggantikan Adenan, akan baik - sekurang-kurangnya buat masa ini.

Bagaimanapun, dalam melangkah menuju ke pilihan raya umum, ia adalah satu perkara yang berbeza.

Felo Institut Pulau Pinang, Wong Chin Huat berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tentu mahu menunggu Sarawak dalam keadaan stabil sebelum membubarkan Parlimen.

"Jika beliau memanggil pilihan raya umum tanpa menunggu ketua menteri baru dapat mengawal keadaan, beliau mungkin kehilangan lebih banyak kerusi parlimen berbanding dengan pilihan raya umum lepas.

"Jika rancangan awal Najib adalah untuk memanggil pilihan raya umum pada pertengahan tahun ini atau lebih awal, maka pemergian Adenan mungkin melambatkan rancangannya," kata Wong.

Bagaimanapun, Faisal berkata sejarah Sarawak - terutama yang membabitkan mereka di kawasan bandar - telah memperlihatkan pengundian yang berbeza untuk pilihan raya negeri dan Parlimen.

Beliau berkata pengundi Cina di bandar telah pada masa lalu mengundi pembangkang di peringkat negeri, dan kemudian mengundi BN di peringkat Parlimen.

Ekoran isu-isu nasional seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST), 1MDB dan sebagainya, Faisal berpandangan bahawa mereka mungkin mengundi secara terbalik (mengundi pembangkang untuk kerusi  Parlimen), tetapi beliau tidak jangka ia berlaku dalam jumlah yang besar'.

Laporan tambahan oleh Lee Long Hui.

[Baca berita penuh]
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS